Pemuda didakwa tipu lima individu berkaitan kes sewa tapak bazar Ramadan - Utusan Malaysia

Pemuda didakwa tipu lima individu berkaitan kes sewa tapak bazar Ramadan

MOHAMAD Nurul Akhbar Maula Yusof dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi menghadapi pertuduhan menipu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pemuda didakwa di lima Mahkamah Majistret di sini hari ini atas lima pertuduhan menipu lima individu berhubung sewa tapak bazar Ramadan di Stadium Bukit Jalil selain bazar Ramadan yang tidak wujud melibatkan penyerahan wang berjumlah RM10,800.

Bagaimanapun Mohamad Nurul Akhbar Maula Yusof, 20, mengaku tidak bersalah selepas kelima-lima pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret-Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali, Noorelynna Hanim Abd. Halim, Nadia Othman, Wong Chai Sia dan Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, tertuduh didakwa dengan curangnya menipu lima individu terdiri daripada seorang lelaki dan empat wanita berusia di antara 24 dan 35 tahun dengan memperdaya mereka dalam urusan menawarkan sewa tapak bazar Ramadan di Stadium Bukit Jalil dan bazar Ramadan yang tidak wujud.

Perbuatan itu telah mendorong kesemua mangsa menyerahkan wang berjumlah RM10,800 melibatkan nilai berlainan di antara RM1,500 dan RM2,700.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa tempat berasingan iaitu di empat lokasi rumah mangsa dan sebuah bank di Cheras, Puchong dan Bukit Jalil di sini di antara 7 Februari dan 30 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu, tertuduh diwakili peguam Mu’az Alwwal Mohamad Zafarullah dalam kesemua kes.

Pihak pembelaan memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya akan dijamin oleh seorang rakan yng bertugas sebagai pelayan hotel berpendapatan RM1,200.

Menurut peguam bela, tertuduh merupakan seorang anak yatim piatu dan dipelihara oleh beberapa keluarga angkat yang mana hubungan mereka kini tidak begitu baik.

Tertuduh kemudian dibenarkan diikat jamin berjumlah RM10,700 bagi kesemua pertuduhan dan sebutan untuk serahan dokumen ditetapkan pada tarikh berasingan iaitu pada 13 Jun, 4 Julai dan 26 Julai ini.

Media sebelum ini melaporkan polis berjaya memberkas seorang lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan melalui laman sosial Facebook melibatkan sewa tapak bazar Ramadan di Stadium Bukit Jalil, di sini bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Mahidisham Ishak berkata, pihaknya menerima enam laporan berhubung kes terbabit.

Menurut polis kesemua mangsa telah dijanjikan akan memperolehi tapak bazar dengan bayaran pendahuluan antara RM1,500 hingga RM2,700.

Kesemua mangsa menyedari ditipu selepas penganjur bazar Ramadan dan Festival Aidilfitri di Stadium Bukit Jalil tidak diteruskan seterusnya gagal menerima wang pendahuluan mereka.

Susulan itu, polis telah menahan suspek utama yang merupakan pemilik akaun Facebook terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya