KOTA BHARU: Pemimpin UMNO dinasihatkan ‘berbincang’ dulu sesama sendiri sebelum mengeluarkan kenyataan berkaitan masa depan kerjasama parti itu dengan Pas dalam Muafakat Nasional (MN).
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, langkah itu wajar kerana wujud percanggahan pendapat dalam kalangan pimpinan tertinggi parti itu sendiri baru-baru ini apabila bercakap tentang MN.
“Kita boleh lihat Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyatakan pandangan kurang bersetuju dengan kenyataan Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Beliau (Mahdzir) mengatakan hubungan MN patut ditentukan parti bukan individu. Kenyataan Presiden dengan pemimpin (UMNO) tidak sekata dan nampak celaru. Jadi kita nak pakai (kenyataan) siapa? Lebih baik bincang dahulu dengan parti,” katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, UMNO mahukan rakan yang setia dalam MN dan memberi bayangan mustahil untuk piagam kerjasama itu diteruskan jika Pas terus memperlihatkan sikap ‘talam dua muka’.
Bagaimanapun, Mahdzir pula dilaporkan berkata, kerjasama UMNO dan Pas untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlu dibincangkan semula secara khusus di peringkat parti dan tidak boleh bergantung kepada keputusan individu sahaja.
Malah, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan juga dilaporkan berkata, parti itu akan memuktamadkan kedudukan dalam MN selepas menerima pandangan pimpinan parti di semua peringkat.
Mengulas lanjut, Mohd. Amar berkata, UMNO Selangor sebelum ini secara terbuka menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Pas dalam PRU-15, sekali gus membuktikan memang wujud percanggahan pendapat dalam kalangan pimpinan parti itu.
Langkah terbaik kata beliau, UMNO perlu menilai semula pendirian berhubung MN bagi membolehkan kedua-dua parti itu kembali bekerjasama demi kepentingan umat Islam dan orang Melayu di negara ini.
Mengenai tuduhan kononnya Pas bersikap talam dua muka, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, jika benar bagai dikata, Pas sudah lama menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“UMNO pernah menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhiyddin Yassin sebagai Perdana Menteri sekali gus menunjukkan sikap parti itu. Sekarang ini UMNO jadi PM. Pas dan Bersatu tidak pula menarik sokongan. Jadi siapa yang mengkhianati kawan sebenarnya?” Soal beliau. – UTUSAN