PASIR GUDANG: PKR lebih yakin dan berani berbanding UMNO kerana keputusan mengadakan pemilihan parti itu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan tidak lama lagi.
Bekas Pengerusi PKR Johor, Hassan Abdul Karim berkata, keberanian itu tiada dalam UMNO yang memberikan alasan demi alasan bagi mengelak pemilihan diadakan sebelum pilihan raya berkenaan.
Katanya, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berasa bimbang akan kedudukannya, berbeza berbanding Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Presiden UMNO itu dilihat berhempas pulas mengatur strategi agar pemilihan parti itu tidak diadakan sebelum PRU-15, ini berbeza dengan pendirian dan kredibiliti Presiden PKR. Beliau (Anwar) juga tidak bimbang akan perpecahan parti sekalipun pemilihan dilakukan sebelum PRU-15, dalam hal ini Anwar dilihat bukan sahaja sebagai demokrat yang percaya pada mandat anggota, tetapi turut mencerminkan idealisme reformasi yang diperjuangkannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hassan yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang berkata, kepimpinan PKR percaya parti berkenaan akan lebih kuat dan bersatu selepas selesainya proses pemilihan parti yang sedang berjalan ketika ini.
“Pertandingan antara dua calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli juga dilihat tidak akan memecahbelahkan parti, kerana ia tidak melibatkan penentangan ideologi sebaliknya perbezaan strategi dalam menghadapi PRU-15. Siapapun yang menang jawatan itu akan bantu Anwar sebagai Presiden dan menguatkan PKR itu sendiri. Anwar sebagai seorang Presiden dan seorang demokrat akan menerima siapa jua yang dipilih anggota parti untuk menjadi timbalannya.
“Persaingan antara Saifuddin dan Rafizi juga tidaklah kelihatan tegang dan sengit sehingga dilihat seperti ‘berkerat rotan’ ataupun ‘menang jadi arang, kalah jadi abu’. Pertentangan antara Saifuddin dan Rafizi kali ini berbeza sifatnya jika dibandingkan pertandingan antara Datuk Seri Azmin Ali dan Rafizi empat tahun lalu,” jelasnya.
Tambah beliau, Rafizi dan Saifuddin membawa pendekatan ‘gentlemen‘ dalam persaingan antara mereka berdua, sementara penyokong masing-masing yang mungkin ‘lebih sudu daripada kuah’.
“Tidak ada ‘jambatan sesiapa dibakar’ angkara pemilihan PKR kali ini. Pemilihan kepimpinan yang sedang berlangsung sekarang ini adalah persaingan persahabatan dalam satu keluarga besar PKR yang kedua-dua tokoh itu ada saham besar dalam membangunkan PKR sehingga kuat dan berpengaruh seperti sekarang,” jelasnya.
Kata beliau, pemilihan kepimpinan PKR pada tahun ini memberi kesan positif di mana masyarakat dapat melihat tokoh-tokoh selain Anwar dalam PKR melibatkan pemimpin pelapis kedua dan ketiga.
“Turut menarik perhatian masyarakat umum adalah 17 calon yang menawarkan diri bertanding bagi empat kerusi Naib Presiden seperti yang diperuntukkan dalam Majlis Pimpinan Pusat. Pertandingan di peringkat Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) juga hebat dan sengit. Ini membuktikan PKR tidak kurang bakat kepimpinan. Beribu anggota seluruh negara tawar diri untuk bertanding pelbagai jawatan dalam parti,” katanya. – UTUSAN