KANGAR: Pemilihan PKR Cabang Kangar terus ‘panas’ apabila seorang ahli parti itu mendakwa ada individu menggunakan tabletnya konon bagi membantu mengundi secara dalam talian.
Ahli PKR kawasan Sena, Chua Beng Choon, 53, mendakwa, individu terbabit mendakwa dia adalah dari pasukan calon Ketua Cabang PKR Kangar, Gan Ay Ling namun setelah dihubungi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan itu menafikannya.
Ekoran itu, Beng Choon tampil membuat laporan di balai polis Kangar di sini kerana tidak puas hati individu lain mengambil kesempatan mengundi bagi pihaknya.
Katanya, dia telah menerima panggilan daripada seorang individu yang kononnya mahu membantu menunjukkan langkah-langkah mengundi secara dalam talian.
Ujarnya, individu tersebut meminta dia datang ke dewan terbuka Flat Seri Sena di sini.
“Apabila sampai di dewan tersebut kira-kira pukul 10.10 pagi, dia (individu tersebut) meminta saya memberikan tablet kepadanya dan selepas itu diserahkan semula kepada saya, sambil berkata sudah siap mengundi.
“Individu tersebut juga meminta saya tunggu di situ untuk diberikan wang tunai dan baju. Di situ juga ada beberapa lagi individu lain.
“Tujuan saya membuat laporan adalah kerana tidak puas hati individu berkenaan mengundi bagi pihak saya dan saya juga tidak tahu calon-calon mana yang dia undi kerana dibuat tanpa persetujuan saya,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di sini hari ini.
Sementara itu, Ay Ling yang kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab itu berkata, pelaksanaan pengundian secara dalam talian sememangnya baik namun malangnya ada yang menyalahgunakan proses tersebut.
Beliau cukup kecewa kerana ada pihak yang sanggup menipu konon daripada pasukannya seterusya bertindak memanipulasikan undi secara dalam talian semata-mata bagi meraih sokongan.
“Saya juga terima banyak aduan daripada rakan-rakan ada individu yang menghubungi mereka dan mendakwa daripada pasukan saya seterusnya memanipulasikan undi online itu.
“Calon-calon bertanding juga diminta perlu lebih telus dan memberi panduan kepada pasukan mereka supaya mengikut peraturan. Saya berharap Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) memandang serius isu ini.
“Peraturan yang ditetapkan oleh JPP perlu dipatuhi dan sekiranya calon melanggar peraturan perlu dikenakan tindakan. Begitu juga dalam soal pondok panas, apabila ditetapkan jarak 200 meter, perlulah dipatuhi,” katanya.
Sebelum ini, Ay Ling turut membangkitkan beberapa isu dalam pemilihan parti itu di cabang Kangar seperti jarak pondok panas yang berhampiran dengan pusat mengundi dan pertukaran ‘cai’
Perebutan jawatan Ketua Cabang PKR Kangar menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Ay Ling, Noor Amin Ahmad yang juga penyandang dan Amar Amran. – UTUSAN