Pemilihan PKR Hang Tuah Jaya: Petugas pengundian dihalau keluar - Utusan Malaysia

Pemilihan PKR Hang Tuah Jaya: Petugas pengundian dihalau keluar

SEORANG petugas memberi tunjuk ajar menggunakan peranti kepada seorang pengundi warga emas di pusat pengundian PKR Cabang Hang Tuah Jaya di Bukit Baru, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Hang Tuah Jaya sedikit panas selepas seorang petugas di pusat pengundian dihalau keluar oleh penyokong calon yang bertanding kerana didakwa ‘membantu’ pemilih membuat keputusan.

Menurut seorang ahli parti yang enggan namanya disiarkan, tindak-tanduk petugas itu menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan akar umbi yang sedang memantau perjalanan pengundian fizikal.

Menurutnya, petugas itu tidak melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik susulan terdapat aduan yang mendakwa, dia mempengaruhi keputusan setiap pemilih yang mendapatkan bantuannya.

“Kami (ahli parti bertugas) dah lama ‘berbulu’ dengan dia, sejak dari pagi lagi. Dia didakwa cuba mempengaruhi keputusan pemilih berbanding mengajar cara menggunakan aplikasi pada peranti.

“Sepatutnya dia hanya membantu pemilih yang tidak mahir menggunakan peranti, bukan turut sama menekan butang pada peranti,” katanya kepada Utusan Online.

Tinjauan akhbar ini mendapati, suasana pengundian di situ sedikit kecoh dan berlaku perang mulut selepas petugas berkenaan diiring keluar dari pusat pengundian.

Sementara itu, Koordinator negeri, Datuk Gue Teck memaklumkan, Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) telah mengenal pasti dua cabang panas di negeri ini iaitu Hang Tuah Jaya dan Tangga Batu.

Katanya, oleh itu JPP bertindak melantik orang luar, bukan dari cabang yang sama sebagai pengawas serta petugas di pusat pengundian.

“Kami bimbang pengawas-pengawas ini akan memilih bulu dan mengelakkan mereka memihak kepada kem-kem tertentu. Ini adalah satu keputusan yang baik dari JPP,” katanya.

Proses pengundian fizikal di Melaka menyaksikan kira-kira 27,000 ahli layak untuk keluar mengundi bermula pukul 9.30 pagi sehingga 5.30 petang ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya