PORT DICKSON: Keputusan Pemilihan PKR 2022 yang akan diumumkan esok pastinya akan memberikan kekuatan semula kepada parti itu.
Sehubungan itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta untuk semua calon yang bertanding supaya bersikap terbuka dengan semua keputusan yang akan diumumkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR itu.
“Tunggu esok, semua sudah ada keputusan, untuk kita rangkul balik kekuatan,” katanya kepada pemberita pada majlis Sambutan Raya Mat Moto 1.0 di sini hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi JPP PKR, Dr. Zaliha Mustafa berkata, keputusan Pemilihan PKR 2022 peringkat Majlis Pimpinan Pusat dan Cabang akan diumumkan pada 29 Mei.
Tarikh keputusan itu sebelum ini ditangguhkan berikutan pemilihan semula di beberapa cabang masih perlu diadakan.
Keputusan pemilihan berkenaan akan dipaparkan di laman sesawang, www.pemilihankeadilan2022.com bermula esok.- UTUSAN