Pemilihan PKR 2022: Proses pengundian fizikal di NS berjalan lancar - Utusan Malaysia

Pemilihan PKR 2022: Proses pengundian fizikal di NS berjalan lancar

AMINUDDIN Harun berseloroh dengan M. Ravi ketika masing-masing yang merupakan lawan bagi merebut Ketua Cabang Port Dickson dalam Pemilihan PKR 2022 terserempak di tempat pengundian secara fizikal di Dewan Bandar Springhill, Port Dickson hari ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Proses pengundian secara fizikal bagi Pemilihan PKR 2022 peringkat Negeri Sembilan berlangsung hari ini sejak pukul 9 pagi tadi.

Dijangkakan sehingga pukul 5 petang, seramai 7,000 orang ahli PKR dari lapan buah cabang di negeri ini akan keluar menjalankan tanggungjawab mereka untuk memilih kepemimpinan baharu parti itu sama ada di peringkat cabang mahupun di peringkat pusat.

Di Negeri Sembilan, pemilihan di peringkat cabang yang menjadi tumpuan adalah Cabang Seremban dan Cabang Port Dickson.

Di Port Dickson, persaingan merebut jawatan Ketua Cabang menyaksikan pertembungan empat penjuru termasuk Menteri Besar yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

ANGGOTA PKR Cabang Port Dickson menjalankan tanggungjawab masing-masing dalam memilih barisan kepemimpinan mereka di tempat pengundian secara fizikal di Dewan Bandar Springhill, Port Dickson hari ini. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

Beliau yang sebelum ini merupakan Ketua Cabang Tampin, berpindah keanggotaannya ke Cabang Port Dickson dan mencabar penyandang jawatan berkenaan yang juga Timbalan Pengerusi MPN Negeri Sembilan, Datuk M. Ravi.

Bagi Cabang Seremban pula, persaingan merebut jawatan Ketua Cabang menyaksikan pertembungan satu lawan satu di antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan yang juga Exco kerajaan negeri, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab Malek dan Setiausaha MPN Keadilan Negeri Sembilan, Nazri Kassim.

Meskipun dianggap sebagai pertembungan ‘panas’, tinjauan di tempat pengundian di kedua-dua cabang tersebut iaitu di Dewan Bandar Springhill (Port Dickson) dan Dewan Orang Ramai Taman Perwira, Sikamat (Seremban) berlangsung dalam keadaan tenang.

Perkara tersebut turut diakui oleh Aminuddin yang turut hadir menyaksikan proses pengundian pagi tadi.

Beliau yang juga calon Naib Presiden PKR bagi pemilihan kali ini juga berkata, setakat ini tiada kejadian dan insiden tidak diingini terjadi malah proses pengundian berlangsung dalam keadaan terkawal.

“Saya dimaklumkan proses pengundian secara fizikal hari ini sangat menggalakkan, ia perkara yang amat baik walaupun ada pertembungan di setiap cabang.

“Apa yang lebih penting, ahli parti mampu keluar menunaikan tanggungjawab mereka dan setiap individu yang bertanding mampu membawa keluar ahli untuk mengundi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya