KUALA KANGSAR: Pemandu treler yang terlibat dalam nahas mengorbankan lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Kilometer 245.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara Khamis lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Mohammad Amirul Aznizam, 28, didakwa di mahkamah berkenaan atas lima pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian kesemua mangsa.
Bagaimanapun, bapa kepada tiga anak itu mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mohd. Shazmeer Zamhari.
Mengikut pertuduhan, Mohammad Amirul yang memandu treler jenis Volvo didakwa telah memandu kenderaan tersebut secara berbahaya dan menyebabkan kematian Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20; Muhamad Nabil Haikal Muhamad Fariz, 19; Muhammad Nasrun Aidol Munir, 22, dan Iqbal Hasnun Halimi, 23.
Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Kilometer 245.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di dalam daerah Kuala Kangsar pada pukul 1 pagi, 12 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000 selain butiran kesalahan wajib dinyatakan dalam lesen memandu, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Asmaniza Mohammad menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan lesen memandu ditahan.
Peguam, G. Ravishankar bagaimanapun memohon jaminan sebanyak RM1,500 bagi setiap pertuduhan diberikan kepada anak guamnya itu ekoran tertuduh telah kehilangan punca pendapatan dan perlu menyara seorang isteri dan tiga anak berusia 14, 10 dan dua tahun.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan selain syarat tambahan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai.
Mahkamah turut menetapkan 30 Jun ini untuk tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen.
Tertuduh membayar jaminan berkenaan.
Menerusi laporan media Khamis lalu, lima pelajar USAS yang dalam perjalanan pulang dari Ipoh ke rumah sewa mereka di Taman Chandan Puteri di sini, maut setelah kereta jenis Honda City yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan dua treler membawa muatan mozek dan besi pagar.
Dalam kejadian itu, kesemua pelajar terbabit rentung selepas kereta dan treler muatan besi pagar yang melanggar dari belakang itu terbakar kira-kira 90 peratus.
Dalam kejadian tersebut, Mohammad Amirul dan pemandu treler muatan mozek berusia 37 tahun tidak cedera. – UTUSAN