KULAI: Seorang pemandu kereta jenis Perodua Myvi ditahan polis kerana memandu secara melulu di lorong kecemasan di Kilometer 27 Lebuhraya Utara-Selatan menghala arah selatan, di sini.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, pemandu lelaki itu ditahan pada pukul 7 petang semalam di Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.
Katanya, siasatan dijalankan mendapati kejadian berkenaan berlaku pada pukul 4 petang, kelmarin.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan satu video tular yang dimuat naik dalam laman Facebook penama akaun Azrai Zulkefeli yang memaparkan sebuah kenderaan bernombor pendaftaran JKW261 jenis Perodua Myvi memandu secara melulu di lorong kecemasan.
“Lelaki berusia 39 tahun yang bekerja sebagai penyelia itu dipercayai secara sengaja memandu secara melulu di lorong kecemasan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beliau meminta pengguna jalan raya mematuhi peraturan dan undang-undang bagi memastikan pengguna jalan raya lain selamat dan kemalangan dapat dielakkan.
“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” jelasnya.
Terdahulu tular dalam media sosial satu rakaman video berdurasi 34 saat memaparkan sebuah kereta Myvi berwarna merah cuba memotong sebuah lori treler di laluan kecemasan dan hampir berlaku kemalangan antara dua kenderaan terbabit.
Rakaman itu juga menunjukkan kejadian berkenaan berlaku ketika terdapat kesesakan jalan raya di kawasan terbabit. – UTUSAN