MELAKA: Padah memandu bawah pengaruh alkohol, seorang pembantu kedai dipenjara sehari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku salah atas perbuatan itu, tahun lalu.
Majistret Azureen Sahira Saufee Afandi menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Chan Chee Wee, 40, yang membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu kereta bernombor pendaftaran BKL 5386, didapati kadar kandungan alkohol dalam nafasnya sebanyak 215 miligram (mg) per 100 mililiter (ml) nafas, iaitu lebih 193mg daripada tahap dibenarkan, 22mg per 100ml nafas.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 12.50 tengah malam di Jalan Taming Sari, dalam daerah Melaka Tengah pada 18 April 2021.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda minimum RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, tertuduh dikesan melakukan kesalahan itu dalam Op Mabuk yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohammad Naim Abd. Jalil memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira kepentingan awam.
Peguam Loong Meng Si yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu hukuman ringan dikenakan dengan alasan anak guamnya perlu menjaga ibunya berusia 60 tahun, selain bekerja sebagai pembantu kedai.
Mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 atau empat bulan jika gagal bayar, selain hilang kelayakan memandu selama dua tahun bermula dari tarikh dijatuhkan hukuman, hari ini. –UTUSAN ONLINE