MARANG: Seorang pelajar tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Berangan di sini maut ketika menyertai latihan merentas desa dianjurkan sekolahnya, hari ini.
Aman Basri Muhd. Rohaizi, 16, dari Kampung Bukit Perpat, Ajil di Hulu Terengganu disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Pengkalan Berangan kira-kira pukul 9.05 pagi.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd. Zain Mat Dris berkata, sebelum kejadian pelajar itu berjoging bersama rakan-rakan lain di jalan raya Kampung Asing ke Kampung Tuman, namun tiba-tiba pengsan pada pukul 8.35 pagi.
Katanya, Aman Basri dipercayai tersadung hingga jatuh sebelum diangkat rakan-rakannya dan diberikan bantuan pernafasan (CPR).
“Selepas beberapa minit, pernafasan mangsa makin perlahan dan guru bertugas segera membawanya ke klinik kesihatan, namun disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Zain berkata, pemeriksaan mendapati terdapat luka di bahagian atas kening pelajar itu selain kesan calar pada dagu dan tangan dipercayai akibat terjatuh.
Katanya, kematian Aman Basri diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan proses bedah siasat tidak dilakukan atas permintaan keluarga.
Sementara itu, ibu mangsa, Harazul Azliana Harun, 42, berkata, anak sulung daripada dua beradik tersebut aktif bersukan dan tidak memiliki sebarang masalah kesihatan sebelum ini.
Katanya, pagi ini, Aman Basri tersenyum ketika bersalam dengannya di samping meminta wanita itu reda mengizinkan dia pergi ke sekolah.
“Tetapi saya tidak rasa apa-apa dengan ucapannya itu sebab dia memang anak yang baik,” katanya ketika ditemui pemberita. – UTUSAN