IPOH: Seorang pekerja kontrak dijatuhi hukuman denda RM3,000 di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membenarkan untuk dibuat penyataan palsu bagi pendaftaran kelahiran bayi perempuan, dua tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Rizduan Chan Abdullah, 49, juga berdepan hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Hukuman tersebut dijatuhkan setelah tertuduh mengaku bersalah di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd. Darus.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membenarkan untuk dibuat catatan palsu dalam daftar kelahiran atas nama seorang bayi perempuan dengan pengetahuan yang sama adalah palsu di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) cawangan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di sini pada pukul 11 pagi, 10 September 2020.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 36(1)(C) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) yang boleh dihukum penjara tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oPegawai Pendakwa JPN, Mohd. Hisam Saruddin manakala peguam G. Harbhajan Singh daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) mewakili tertuduh.
Majistret Noor Azreen Liana menjatuhi hukuman denda RM3,000 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda berkenaan. Tertuduh membayar denda tersebut. – UTUSAN