LIPIS: Tindakan pantas Pegawai Daerah Lipis, Datuk Mohd. Hafizi Ibrahim berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang terperangkap dalam sebuah kereta di sebuah parkir Pejabat Tanah dan Daerah Lipis (PTDL), di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 2.40 petang itu, anggota bomba yang dipanggil oleh Pegawai Daerah tersebut cuma mengambil masa kira-kira empat minit untuk membuka pintu kereta jenis Nissan Grand Livina dan berjaya mengeluarkan kanak-kanak berkenaan.
Ketua Balai Bomba Kuala Lipis, Haslizan Ramli berkata, balai bomba di sini menerima panggilan daripada Mohd. Hafizi yang memaklumkan seorang kanak-kanak tertidur dalam sebuah kereta terkunci di parkir tersebut.
“Lapan orang anggota bomba di sini dengan sebuah jentera dan ambulans EMRS bergegas ke tempat kejadian dan cuma mengambil masa selama empat sahaja untuk membuka pintu dengan menggunakan peralatan penyelamat serta mengeluarkan kanak-kanak berkenaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Haslizan, usaha menyelamatkan kanak-kanak itu perlu segera dilakukan kerana dibimbangi boleh berlaku perkara tidak diingini seperti terhidu asap.
“Kanak-kanak perempuan berkenaan dipercayai ditinggalkan oleh penjaganya yang berurusan di kaunter PTDL dan kemungkinan tertidur selepas itu. Kejadian itu disedari oleh Pegawai Daerah Lipis yang kebetulan melewati parkir berkenaan dan melihat orang ramai cuba mengejutkan kanak-kanak ini dengan mengetuk tingkap dan menggoyangkan kereta lalu kemudiannya beliau memanggil anggota bomba di sini,” katanya.
Katanya, kanak-kanak perempuan itu selamat dan diserahkan kepada penjaganya.
Haslizan menasihatkan ibu bapa supaya jangan meninggalkan anak dalam kereta walaupun untuk cuma beberapa minit dan perlu melihat keadaan dalam (kereta) sebelum pintu dikunci.
“Letakkan bahan atau benda penting sebagai ‘reminders’ di tempat duduk belakang seperti tas tangan, dompet duit atau telefon bimbit,” jelasnya.
Katanya, orang awam yang menjumpai kanak-kanak di dalam kereta tanpa pengawasan orang dewasa atau sekiranya tidak menunggu ibu bapa kanak-kanak kembali serta dibimbangi berlaku perkara yang tidak diingini perlulah menelefon ke balai polis atau bomba berdekatan. – UTUSAN