KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, pasukan penyiasat kes rasuah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette A. Samad tidak pernah mengugut, memaksa atau menawarkan sebarang janji kepada dua ejen pelaburan ketika keterangan mereka dirakam bagi membantu siasatan.
Penguasa Kanan Mohd. Haris Ibrahim, 42, berkata, kedua-dua saksi pendakwaan, Norhaili Ahmad Mokhtar dan Madhi Abdul Hamid juga tidak pernah menyuarakan apa-apa aduan ketika percakapan mereka dirakam di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya di antara 2016 dan 2017.
Beliau yang merupakan pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, hasil siasatan mendapati wujud keterangan mencukupi untuk mendakwa Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan isterinya atas kesalahan rasuah membabitkan wang berjumlah RM2.8 juta.
Ujar saksi pendakwaan terakhir itu, berdasarkan hasil siasatan, beliau telah mencadangkan kepada pihak pendakwaan agar Bung Moktar dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 manakala Zizie Izette atas pertuduhan bersubahat di bawah Seksyen 28(1) (c) akta sama.
Menurut saksi, beliau mengesyorkan pendakwaan dilakukan terhadap kedua-duanya berdasarkan dokumen yang diperoleh serta rakaman percakapan saksi-saksi manakala nilai rasuah yang dicadangkan ialah RM2.8 juta.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How pada sesi pemeriksaan utama, Mohd. Haris berkata, isu wang pengenalan (introduction fee) RM2.8 juta tidak pernah ditimbulkan sebelum pertuduhan terhadap pasangan suami isteri dicadangkan kepada pihak pendakwaan.
Ujar saksi, beliau hanya mendengar isu mengenai wang pengenalan sekitar bulan Februari 2021 selepas dimaklumkan oleh seorang lagi pegawai penyiasat yang menggantikannya bagi mengendalikan kes.
Norhaili, 45, ketika memberi keterangan sebelum ini memberitahu mahkamah, Zizie Izette layak mendapat wang pengenalan RM2.8 juta selepas Felcra bersetuju melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Norhaili yang kini perunding unit amanah berkata, Zizie Izette yang juga kenalannya berhak mendapat wang tersebut selepas memperkenalkan beliau kepada suaminya yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra dan seorang lagi pegawai kanan agensi itu.
Norhaili menjelaskan, sebanyak RM2.2 juta dibayar secara tunai di Public Bank Taman Melawati manakala selebihnya kira-kira RM800,000 dipecahkan dalam bentuk pelaburan yang dibayar semula ke dalam akaun unit amanah Public Mutual milik Zizie Izette. Perbicaraan di hadapan Hakim Rozina Ayob bersambung esok.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500.
Rasuah itu sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar, selaku Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, dituduh menerima rasuah daripada Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.
Tertuduh juga didakwa menerima suapan wang tunai untuk dirinya sebanyak RM335,500 daripada Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab yang sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.
Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan suaminya melakukan perbuatan itu di tempat dan tarikh yang sama. – UTUSAN