KUALA TERENGGANU: Suasana di Pasar Chabang Tiga di sini meriah hingga tengah malam susulan kekalutan orang ramai membeli barangan saat akhir untuk Hari Raya Aidilfitri.
Tinjauan Utusan Malaysia malam tadi mendapati, seawal pukul 8.30 malam orang ramai sudah menyerbu pasar itu selepas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan Aidilfitri disambut pada hari ini.
Antara yang menjadi tumpuan ialah deretan kedai ayam, daging, santan di samping sayuran.
Peniaga santan, Mohd. Suzlan Abd. Wahab, 34, berkata, pelanggan sanggup beratur di kedainya selama dua jam hingga pukul 10.30 malam gara-gara mahu mendapatkan barangan berkenaan.
Luar biasa
Katanya, sambutan luar biasa itu sekali gus membolehkan hampir 5,000 biji kelapa dijual, semalam dengan jualan mencecah RM12,000.
“Sepanjang 11 tahun saya berniaga santan, kebiasaannya hanya 2,500 biji kelapa habis, sehari sebelum raya tetapi semalam jumlahnya berganda hingga terpaksa menggunakan bekalan selepas Aidilfitri.
“Sebenarnya saya sudah mahu menutup kedai dan cuma menunggu pelanggan mengambil tempahan sahaja tetapi tidak sangka diserang ramai orang selepas pengumuman raya ,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Seorang lagi peniaga, Muhammad Muzamer Zamri, 32, berkata, sebanyak 100 kilogram laksa laris malam tadi selepas kedainya dibuka pada pukul 9 malam.
Katanya, dia mengambil peluang membuka kedainya kerana terdapat lebihan stok daripada pembekal.
“Malam tadi memang sejarah di Pasar Chabang Tiga kerana buat pertama kalinya peniaga beroperasi hingga tengah malam kerana orang ramai sibuk membeli barangan basah.
“Biasanya, suasana di pasar sunyi sepi kerana kedai ditutup mulai tengah hari hingga selepas berbuka,” katanya.
Sementara itu, seorang surirumah, Harisah Ismail, 54, dari Kampung Pengkalan Batu di sini bimbang terpaksa memasak nasi goreng pada 1 Syawal ekoran tiada sebarang bahan untuk menyiapkan nasi minyak yang merupakan juadah tradisi keluarganya setiap kali Aidilfitri.
“Semasa saya sampai, orang sudah ramai di pasar, mujurlah dapat membeli dua ekor ayam. Kalau tidak kami sekeluarga cuma makan nasi goreng pagi ini,” katanya.
Pasar Awam Batu Gajah
Sementara itu, di Batu Gajah, Perak, Pasar Awam Batu Gajah di sini turut dibuka malam tadi sehingga pagi ini untuk memudahkan orang ramai membeli keperluan memasak pada hari raya.
Peniaga ayam, Mohammad Huzaimy Mohd. Jamil, 32, berkata, dia dan peniaga di pasar itu membuka perniagaan pada pukul 9 malam sebaik pengumuman Aidilfitri disambut hari ini.
Menurutnya, pelanggan mulai datang untuk membeli barang keperluan memasak.
“Kami faham, ramai yang tak bersedia untuk menyambut hari raya apatah lagi nak memasak makanan raya. Kami buka perniagaan sehingga subuh,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Peniaga santan, Mohd. Syazwan Zailani, 31, berkata, lazimnya setiap kali sebelum hari raya, pasar awam di sini dibuka untuk kemudahan orang ramai membeli barangan keperluan untuk memasak.
Katanya, namun suasana kali ini kelam-kabut disebabkan ramai yang tidak menyangka hari raya disambut hari ini.
“Memang terkejut apabila diumumkan raya hari ini. Dalam pukul 10 atau 11 malam tadi sudah mula ramai pelanggan,” katanya. – UTUSAN