Pantau pembakaran terbuka ketika Monsun Barat Daya - Utusan Malaysia

Pantau pembakaran terbuka ketika Monsun Barat Daya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Operator tapak pelupusan sampah di negeri ini diminta untuk meningkatkan kawalan keselamatan bagi memastikan tiada mana-mana individu yang mencari besi buruk membuat pembakaran terbuka di kawasan terbabit.

Pengarah Bomba Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, hal itu kerana pembakaran terbuka di kawasan pelupusan sampah menyebabkan banyak masalah terhadap alam sekitar.

YAHAYA MADIS

 

Selain itu katanya, operasi pemadaman kebakaran di kawasan berkenaan juga akan mengambil masa yang lama, sehingga boleh mencecah dua minggu.

“Siasatan yang dibuat mendapat kebakaran di kawasan tersebut biasanya berpunca disebabkan tindakan individu yang memasuki kawasan berkenaan secara haram untuk mencari barangan terpakai khususnya besi buruk.

“Mereka akan bertindak memulakan pembakaran kerana langkah itu akan memudahkan mereka mencari besi-besi buruk yang kemungkinan berada di bawah timbunan sampah.

“Oleh itu, kami berharap operator tapak pelupusan sampah akan melihat perkara ini dengan serius, kerana kita bakal berdepan cuaca panas dan kurang hujan tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Yahaya, peringatan sama turut diberikan kepada penternak dan pekebun agar tidak membuat pembakaran terbuka yang akhirnya sukar dikawal mereka.

“Sekiranya pembakaran yang dilakukan tidak dibuat dengan berhati-hati, ia berkemungkinan akan menyebabkan pembakaran yang lebih besar dan sukar dikawal.

“Jika pada ketika itu terdapat angin yang kuat dengan timbunan daun-daun kering, kebakaran akan merebak ke kawasan sekitar hanya dalam tempoh beberapa minit sahaja,” ujarnya.

Sehubungan itu pihaknya mengingatkan orang ramai agar membuat panggilan kecemasan segera kepada bomba sekiranya melihat pembakaran luar kawalan berlaku di kawasan mereka dengan kadar segera.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah dilaporkan memberitahu, negara dijangka mengalami cuaca panas dan kekurangan hujan di beberapa buah negeri bermula Sabtu ini. 

“Semasa Monsun Barat Daya, lazimnya angin bertiup secara konsisten dari arah Barat Daya dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh itu.

“Sehubungan itu, kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan lebih banyak berbanding musim lain,” jelasnya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya