'Orang lain yang cuai, saya yang kena, mana keadilan?' 

‘Orang lain yang cuai, saya yang kena, mana keadilan?’ 

AHMAD Zahid Hamidi (kanan) berjalan keluar selepas hadir sambung bicara 47 pertuduhan membabitkan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapi beliau di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan bekas Setiausaha Eksekutifnya, Mejar Mazlina Mazlan bertindak cuai ketika mengendalikan pengurusan kewangan peribadi miliknya dan Yayasan Akalbudi.

Presiden UMNO memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, perbuatan itu termasuk melunaskan bayaran kad kredit secara berlebihan iaitu RM155,183 walhal jumlah yang perlu dibayar sebanyak RM136,604.58.

Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri, Mazlina malah terkurang menjelaskan bil kad kredit dan hanya membayar RM100,000, sedangkan beliau sepatutnya membayar RM222,060.

“Inilah yang saya sendiri tak faham. Kenapa bayar lebih dan kadang-kadang bayar kurang. Ertinya ini cuai, yang kena saya. Adakah ini satu keadilan?” luah Ahmad Zahid ketika disoal oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal sewaktu sesi pemeriksaan utama dalam prosiding bela diri yang masuk hari ketiga.

Sebelum itu, peguam bela bertanya butiran penyata kad kredit milik Ahmad Zahid yang diuruskan oleh Mazlina.

Ahmad Zahid sedang dibicarakan terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik yayasan itu.

Ketika membacakan pernyataan saksi, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, Mazlina turut dipertanggungjawab untuk menjaga dan menguruskan cop tandatangan bagi menandatangani sijil penghargaan dan kad-kad perayaan.

Namun ujar tertuduh, Mazlina cuai kerana menggunakan cop tandatangan beliau (Ahmad Zahid) pada cek yayasan untuk membayar kad kredit persendirian miliknya dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis meskipun tidak dibenarkan berbuat demikian.

Ujar Ahmad Zahid, Mazlina juga cuai kerana tidak menunjukkan penyata bulanan miliknya dan akaun Yayasan Akalbudi setiap bulan bagi membolehkan beliau mengetahui baki wang milik yayasan.

“Sebagai banker terlatih dan berpengalaman, sekiranya saya tahu Mazlina berkelakuan sebegini, saya tidak akan beri kebenaran dan akan menghentikan perbuatannya serta merta,” ujar Ahmad Zahid.

Ujar tertuduh, Mazlina ketika memberi keterangan pada perbicaraan lalu mengakui melakukan kecuaian kerana membayar lebihan kad kredit dan menjelaskan bayaran yang tidak mencukupi.

Ahmad Zahid turut ditanya oleh peguam bela mengapa beliau tidak mengambil tindakan terhadap Mazlina sedangkan bekas pegawainya itu telah melakukan beberapa kesalahan.

“Saya seorang yang profesional dan melayani pegawai-pegawai bawahan secara profesional. Saya tidak pernah menurunkan pangkat mana-mana pegawai sebaliknya memberi nasihat dan panduan serta menaikan pangkat dengan cara tertentu supaya pegawai itu tidak lagi bertugas di pejabat atau kementerian yang saya ketuai,” kata beliau.

Ujarnya, biarpun Mazlina mengulangi kesilapan, beliau tetap menasihatnya kerana pegawai itu merupakan aset jabatan, agensi atau kementerian yang diketuainya dan tidak sepatutnya dizalimi dan dianiaya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, ekoran kegagalan Mazlina yang juga saksi pendakwaan ke-90, pihaknya terpaksa melantik Tetuan Lewis & Co. sebagai pemegang amanah dana Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid sedang dibicarakan terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik yayasan itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya