Nilai bakat, bukan rupa – Aidil Maula - Utusan Malaysia

Nilai bakat, bukan rupa – Aidil Maula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sedar dirinya baru bertatih dalam industri muzik tempatan, figura seorang ini tidak pernah mendongak ke langit.

Walaupun sudah setahun lebih mencipta nama di persada seni ini dan mula memiliki kelompok peminat sendiri, si pemilik nama Aidil Maula, masih berjiwa hamba.

Figura ini bermula sebagai model menerusi muzik video lagu Cemburu nyanyian Nabila Razali. Tetapi kerana minat dan rasa cinta terhadap muzik, dia beranikan diri untuk mencuba.

Kemunculan jejaka ini dalam industri ketika era Covid-19 bukan penghalang namanya dikenali ramai.

Malah, dia menitipkan rasa syukur kerana dirinya dapat diterima rata-rata pendengar lebih-lebih kini dikenali pendengar di negara seberang, Indonesia.

“Secara peribadi, sudah semestinya pandemik memberi kesan malah ketika nama saya baru melakar dalam industri muncul pula pandemik ini.

“Bagaimanapun, penerimaan saya dalam industri, Alhamdulillah. Saya rasa diterima walaupun tidaklah mencecah ratusan ribu pengikut.

“Tetapi mungkin, saya perlukan lebih masa. Sedangkan robot pun tidak dicipta dalam masa sehari,” katanya ketika ditemu bual.

Cuba membaca air mukanya, jelas dia seorang anak seni yang penyabar. Tekad membawa bakat yang ada, Aidil bukan seorang yang mudah mengalah untuk dikenali umum.

“Saya kena sabar, sentiasa cekal dan tabah dalam industri ini. Saya pula baru sahaja jejakkan kaki tidak sampai dua tahun, tak kan lah saya sudah mahu mengalah kerana pandemik ini.

“Saya paling terkejut apabila orang di negara seberang perasan saya. Mungkin dari segi cover lagu yang saya nyanyikan di media sosial Instagram.

“Pun begitu, saya belum lagi target mencipta nama di negara Singapura mahupun Indonesia,” kongsinya.

Tidak berseorangan, dia menzahirkan kesyukuran kerana mempunyai insan-insan di belakangnya yang sentiasa menyokong gerak langkahnya dalam menghiasi nama dalam industri ini.

“Namun, jika ada rezeki Insya-Allah saya akan mengambil peluang dengan sebaiknya.

“Alhamdulillah juga, rakan-rakan dan ahli keluarga yang sangat memberi sokongan. Malah, rata-rata rakan seindustri ini juga menyokong saya,” tuturnya.

PAKEJ LENGKAP
Biarpun mempunyai pakej paras rupa yang menarik, jejaka yang berasal dari Johor Bahru ini menitipkan harapan agar dirinya hanya dinilai melalui bakat dan karyanya yang ada.

Bagi Aidil, jiwa yang benar-benar minat dalam bidang muzik ini adalah faktor utama dirinya tampil memahat nama dalam industri seni tanah air.

“Itu memang apa yang mereka kata, ada rupa sahaja senang menempa nama. Bagi saya, mungkin ada rupa, ada wajah tetapi tiadalah nak kata ‘terpaling’ mempunyai rupa.

“Adalah kurniaan Allah itu buat saya. Tetapi, ia bukan sebab mengapa saya berada dalam industri ini. Ini jiwa saya, saya suka menyanyi sejak kecil lagi. Ia juga adalah hobi saya.

Dari muka 21

“Tiada sebab rupa atau sebaliknya saya di sini, ia kerana saya minat menyanyi. Saya lihat rakan industri saya yang mempunyai rupa lagi kacak dan cantik pun struggle juga. Jadi, 2022 ini kita sudah tidak boleh guna sebab itu lagi, kena move on,” ujarnya.

NAFAS BAHARU
Kini dilihat ramai penyanyi muda dan bakat baru memberi nafas baharu menerusi lagu-lagu lama yang sudah popular di mainstream tempatan.

Namun, tidak semua yang suka dengan percubaan mereka itu. Ada yang berpendapat mereka merosakkan lagi lagu berkenaan.

Bagi penyanyi lagu Pedih ini, pendengar seharusnya memberi peluang buat mereka dalam berkarya memberi nafas baharu kerana berkemungkinan dapat memberi impak kepada lagu tersebut.

“Satu dunia boleh berkata macam-macam, setiap insan mempunyai berbeza pendapat. Kita cuma telan dan hadam.

“Tetapi, saya boleh katakan yang saya ini orang baharu yang ingin memberi sesuatu nafas yang baharu kepada sesuatu yang mungkin boleh memberi impak terhadap pendengar. Sebagai contoh, mungkin orang sudah mengetahui lagu tersebut.

“Tetapi untuk membuatkan lagu itu lebih dikenali apabila diberi nafas baharu. Malah, ada pendengar yang tidak mengetahui kewujudan lagu berkenaan pun dapat menerimanya. Jadi, ini adalah jalan untuk kami untuk menaikkan semula lagu-lagu lama,” ujarnya.

TAK DUDUK DIAM
Walaupun tidak banyak lagi mempunyai karya, namun penyanyi ini tidak duduk diam dan sentiasa bergerak aktif sebagai seorang penghibur, bukan di pentas utama sahaja.

Malah di majlis korporat mahupun majlis perkahwinan. Inilah jiwa seorang insan bernama Aidil.

“Setiap insan mempunyai impian mereka tersendiri, tetapi untuk Aidil buat masa ini, cuma ada satu sahaja material yang baru keluarkan. Ia belum lagi kuat untuk saya lebarkan sayap.

“Pada masa sama, saya tidak reti duduk diam. Saya bergerak aktif sebagai seorang artis yang minat akan nyanyian. Jadi saya hendak tunjuk, inilah yang saya lakukan. Saya ingin melakukan ini sebagai kerjaya,” katanya.

Tidak mengenali erti jemu dan berputus asa, jejaka berjiwa besar ini sentiasa mengambil peluang yang ada dan bekerja keras agar dapat dikenali terutama penganjur di luar sana.

“Kalau tanya penyanyi yang lain pun, mesti berhasrat untuk menjejakkan kaki ke pentas yang besar. Siapa yang tidak mahu kerana itu menunjukkan kamu adalah seorang yang berbakat.

“Pada masa sama, sudah semestinya saya mahukan nama saya dikenali ramai. Apabila saya dikenali, ada juga penganjur yang memberi sokongan bagi merealisasikan impian saya untuk lebih ke hadapan,” jelasnya lagi.

TRAGEDI LEBARAN

Sekitar jam 8.25 malam tanggal 13 Mei lalu menjadi tarikh keramat yang akan sentiasa tersemat dalam fikirannya.

Aidil terlibat dalam kemalangan melibatkan sebuah lori yang melanggar keretanya dan dua buah kenderaan lain di hadapannya sekitar kawasan Kampung Bemban, Melaka.

Menurut tuan badan, dia sudah sehabis baik mengelak daripada kemalangan yang akan lebih teruk berlaku.

Namun, siapa yang menduga. Sudah tertulis di Luh Mahfuz buat dirinya untuk menerima ujian seperti ini dengan hati terbuka dan reda.

“Saya cuba yang terbaik bagi mengelakkan kejadian yang lebih teruk berlaku. Alhamdulillah, saya sedar tentang perkara yang berlaku.

“Jadi saya mungkin diselamatkan atau terselamat dengan cara mengelak dari kereta itu. Namun lori tersebut langgar dengan lebih teruk.

“Apa keadaan pun, kita jangan panik,” kongsinya.

CEDERA RINGAN
Walaupun mengalami kecederaan ringan, Aidil tetap bersyukur kerana segalanya selamat. Pun begitu, tidak dinafikan dia kini mengalami trauma ketika memandu.

“Saya selamat cuma saya mengalami luka dan lebam sedikit. Trauma pula, sudah semestinya. Kerana kita sedaya upaya sudah memandu dengan berhati-hati.

“Saya sangat trauma walaupun sekarang sedang memandu pun, saya ambil laluan kiri kerana saya perlu lebih berhati-hati. Kita berjaga-jaga pun kena, apa lagi jika tidak berjaga-jaga kan,” ujarnya.

Seperti pepatah Melayu, bagaikan nyawa di hujung tanduk, Aidil merasakan dirinya diberi lagi satu peluang untuk menikmati kehidupan bersama insan-insan tersayang.

“Saya tidak tahulah, saya rasa diberi peluang kedua lah. Saya bersyukur kerana menerima peluang ini lagi sekali.

“Mungkin peluang kedua yang diberikan ini ada hikmahnya,” tuturnya panjang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya