ALOR GAJAH: Empat sekeluarga termasuk bayi berusia 11 bulan nyaris maut selepas kereta dinaiki hilang kawalan dan bertembung di Jalan Pegoh di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 pagi itu, suri rumah, Siti Baizura Mohd. Musa, 33, mengalami kecederaan parah.
Suaminya, Mohammad Rizudwan Taib, 44, dan dua anak mereka Aariz Zakariyya Ayman, 6, serta Zaenn Yunnus, 11 bulan terselamat tanpa sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, kejadian berlaku ketika keluarga tersebut yang menaiki kereta jenis Nissan Navara dalam perjalanan dari arah Kuantan, Pahang menghala ke Jelatang.
“Kemalangan berlaku apabila kereta dinaiki empat sekeluarga itu hilang kawalan ketika menghampiri selekoh dan masuk ke lorong bertentangan. Akibat itu, kereta tersebut telah bertembung dengan sebuah Proton Wira dipandu seorang pemuda berusia 24 tahun sebelum terbabas di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Arshad berkata, akibat kemalangan itu, Siti Baizura dan pemandu Proton Wira mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Zon Merah, Hospital Alor Gajah.
“Kedua-dua mangsa yang parah telah dibawa dengan ambulan ke Hospital Alor Gajah untuk menerima rawatan lanjut. Di lokasi kejadian tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan saksi bebas diminta tampil dengan memberi keterangan kepada pihak polis,” jelasnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd. Solehin Abdul Ghani dari Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Alor Gajah memberitahu, sepasukan lapan anggota turut dikejarkan ke lokasi untuk membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Pasukan bomba telah mengeluarkan pemandu Proton Wira terbabit yang tersepit sebelum dikejarkan ke hospital. Kita juga telah membantu membersihkan jalan untuk keselamatan pengguna jalan raya yang lain dan operasi tamat pada pukul 9.13 pagi,” katanya. – UTUSAN