PETALING JAYA: Selebriti media sosial dan pereka fesyen, Datuk Rizalman Ibrahim, tampil mendedahkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan syarikatnya, Faizul Surani, hampir menjadi mangsa scammer yang menyamar sebagai Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Perkara tersebut dikongsikan pereka fesyen tersohor itu menerusi tangkap layar perbualan kedua pihak tersebut di entri Instagram miliknya.
Menerusi perbualan tersebut, scammer yang menyamar sebagai ‘Tuanku Permaisuri Agong’ itu telah meminta Faizul memindahkan wang ke seorang lelaki dikenali sebagai Khairul Ikhwan sebanyak RM3,000.
“Mohon hati-hati dengan scammer, mereka sudah berjaya menceroboh ke Telegram.
“Jangan terpedaya dengan scammer. Nasib ‘double check’ dengan Tuanku, ampun Tuanku,” coretnya ringkas.
Bagaimanapun, scammer tersebut gagal untuk memperdaya pereka fesyen itu selepas dia sempat membuat pengesahan daripada Permaisuri Agong sendiri.