Najib mahu jam, Rosmah nak gelang berlian

Najib mahu jam, Rosmah nak gelang berlian

ANGGOTA polis mengangkat kotak-kotak mengandungi barangan dirampas di Pavilion Residences pada Mei 2018.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memaklumkan Mahkamah Tinggi di sini, beliau tidak meneruskan tuntutan terhadap seutas gelang emas putih bertatahkan berlian bernilai AS$220,000.

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, Ahli Parlimen Pekan itu hanya ingin menuntut tujuh utas jam tangan jenama Richard Mille.

“Saya telah mendapat arahan daripada Datuk Seri Najib yang beliau tidak menuntut gelang tangan yang dinyatakan. Tuntutan hanya dibuat oleh Datin Seri Rosmah (Mansor).

“Walaupun mereka berdua adalah suami isteri tetapi masing-masing menuntut perkara berbeza,” kata peguam itu.

Sementara itu, peguam Azamuddin Abd. Aziz yang mewakili Rosmah mengesahkan bahawa anak guamnya itu masih lagi ingin menuntut gelang berlian tersebut. Gelang yang sama turut dituntut oleh syarikat barang kemas antarabangsa, Global Royalty Trading SAL dari Lubnan.

Peguam, Datuk David Gurupatham yang mewakili syarikat barang kemas itu menyatakan, pihaknya juga meneruskan tuntutan terhadap gelang berlian tersebut.

“Pada prosiding sebelum ini, telah direkodkan bahawa Datin Seri Rosmah mengetepikan hak untuk memeriksa barangan kemas itu, jadi beliau tidak boleh mengenal pasti gelang tersebut.

“Sebaliknya, kami memfailkan afidavit oleh Superintenden Foo Wei Min yang merupakan pegawai penyiasat yang telah memeriksa setiap barangan kemas dan mengesahkan bahawa gelang berlian dituntut adalah milik Global Royalty,” kata Gurupatham.

Gelang berlian dan jam-jam tangan dituntut pasangan itu antara antara barangan yang dirampas pihak berkuasa di Pavilion Residences pada Mei 2018.

Menurut laporan media sebelum ini, antara barangan yang dirampas membabitkan 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 unit aksesori jam tangan, 234 unit cermin mata dan 306 beg tangan serta wang tunai pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.

Najib, Rosmah dan Global Royalty mengemukakan tuntutan tersebut sebagai pihak berkepentingan dalam prosiding lucut hak barangan-barangan yang dirampas daripada premis milik Obyu Holdings yang katakan dimiliki Tan Sri Bustari Yusof.

Bagaimanapun, prosiding tuntutan tersebut tidak dapat diteruskan selepas Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin memaklumkan, pihaknya perlu membuat beberapa pindaan terhadap notis usul mereka.

Muhammad Shafee kemudian bangkit dan memohon agar tuntutan anak guamnya diselesaikan terlebih dahulu dan pindaan dibuat secara lisan. Permohonan itu bagaimanapun dibantah oleh pendakwaan kerana tuntutan itu dibuat membabitkan kesemua barangan rampasan dan bukannya secara berasingan.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin kemudian menetapkan 8 Jun ini untuk pengurusan kes berikut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya