Naib Canselor AIU terima anugerah Profesor Emeritus

Naib Canselor AIU terima anugerah Profesor Emeritus

ABD. AZIZ TAJUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Naib Canselor Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU), Prof. Datuk Abd. Aziz Tajuddin dianugerahkan Profesor Emeritus pada Majlis Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (USM) Ke-59 di Pulau Pinang yang berlangsung bermula esok hingga 31 Mei ini.

AIU dalam satu kenyataan di sini memaklumkan, anugerah tersebut sangat bermakna bagi institusi berkenaan sebagai menghargai jasa tokoh itu dalam bidang pendidikan dan kemasyarakatan.

“Beliau dilantik sebagai Penasihat AIU pada 2018 seterusnya sebagai Pendaftar dan Profesor pada tahun berikutnya. Beliau kini adalah Naib Canselor dan Presiden serta Profesor AIU sejak 2020.

“Beliau terlibat dalam penghasilan tidak kurang daripada 20 penerbitan dalam bentuk buku/prosiding, 100 penerbitan antarabangsa, 35 penerbitan tempatan, 40 pembentangan antarabangsa dan lebih 200 pembentangan tempatan termasuk sebagai penceramah jemputan.

“Penerbitan beliau berkisar tentang interaksi sinaran mengion dengan bahan, pembangunan perubatan yang berkaitan dan sinaran mengion alam sekitar,” katanya.

Menurut kenyataan itu, bagi aspek pengajaran, beliau terlibat dalam pengajaran di semua peringkat di USM merangkumi mata pelajaran yang berbeza sekali gus membuktikan kepelbagaian beliau dari matrikulasi, diploma, sarjana muda dan sarjana mengikut peringkat kerja kursus.

“Sepanjang 33 tahun berkhidmat di USM, beliau menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak enam kali. Pada 2010, beliau dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah,” katanya.

Abd. Aziz dilahirkan di Sungai Kechil, Nibong Tebal, Seberang Perai pada 20 Januari 1956 dan mendapat pendidikan awal di Maktab Tentera Diraja (RMC) sebelum melanjutkan pengajian ke Kolej Aston, Wrexham, Wales, Universiti Salford, England dan Universiti Surrey, England.

Selepas menamatkan pengajian PhD, beliau berkhidmat di Pusat Pengajian Fizik USM sebagai pensyarah dan pada 1995, beliau dilantik sebagai Dekan Pusat Pengajian Fizik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN