SUNGAI PETANI: Seorang remaja tidak memiliki lesen yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) merempuh dua pekerja pemotong rumput dalam kemalangan di Jalan Pintasan Semeling, Bedong di sini hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 11 pagi itu, salah seorang mangsa terlibat yang merupakan warga Myanmar meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan mendapati MPV terlibat dipandu remaja lelaki berusia 16 tahun yang tidak memiliki lesen memandu.
Menurutnya, remaja yang tinggal di Laguna Merbok di sini juga adalah seorang pelajar di sebuah sekolah menengah.
“Setakat ini, remaja terbabit sudah ditahan dan kita masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian.
“Remaja terbabit yang memandu Perodua Alza tidak cedera dan dia ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa, Cinglowpa, 20, meninggal dunia akibat parah di kepala manakala rakan senegaranya, Jamal Husson Fozol Haque, 33, pula patah bahu kanan dan dibawa ke
Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, untuk rawatan lanjut.
Katanya, kemalangan itu berlaku ketika mereka berehat di bahu jalan bersama beberap orang lagi rakan sekerja selepas memotong rumput di kawasan tersebut.
“Kemalangan itu berlaku apabila sebuah kereta Perodua Alza dari arah lampu isyarat Semeling yang dipandu laju oleh remaja terbabit hilang kawalan dan terbabas ke kiri bahu jalan sebelum merempuh dua batang pokok.
” Selepas itu, kenderaan tersebut kemudian merempuh mangsa dan sebuah motosikal dipercayai milik salah seorang pekerja pemotong rumput tersebut,” katanya.
Zaidy memberitahu, pemandu Perodua Alza itu pula tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan itu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN