Mohamed Khaled usul pinda Perlembagaan UMNO - Utusan Malaysia

Mohamed Khaled usul pinda Perlembagaan UMNO

AHMAD Maslan (tengah) melayan tetamu yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka Ahli Parlimen Pontian di Rumah Citra Benut, Pontian di Johor. - UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Usul pindaan Perlembagaan UMNO berhubung pemilihan akan dibentangkan Naib Presiden parti, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas, 14 Mei ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, usul pindaan untuk pemilihan parti diadakan hanya selepas setiap kali Pilihan Raya Umum (PRU) itu akan dibuat di hadapan 2,666 perwakilan.

Katanya, salah satu daripada usul yang dibentangkan ketika PAU lalu adalah pemilihan parti perlu diadakan selepas PRU.

“Tempohnya pula perlu diadakan enam bulan selepas PRU. Usul ini sebulat suara dipersetujui untuk dipinda dan telah diluluskan,” katanya pada sidang akhbar ketika Majlis Rumah Terbuka Ahli Parlimen Pontian di Rumah Citra Benut di sini hari ini.

Tambah Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, pindaan tersebut bagaimanapun memerlukan Perhimpunan Agung Luar Biasa (EGM) diadakan pada Sabtu depan.

“Pindaan perlembagaan parti berhubung pemilihan perlu mengikut prosedur ditetapkan supaya tidak menyalahi undang-undang dan peraturan,” jelasnya.

Katanya, UMNO sudah memaklumkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengenai perkara tersebut.

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam ucapan dasar pada PAU 2021 mencadangkan agar perlembagaan berhubung pemilihan parti itu dipinda.

Beliau berkata, pemilihan parti seharusnya diadakan hanya selepas setiap kali PRU bagi mengelakkan sebarang usaha untuk memporak-perandakan, melemahkan kesepaduan dan kekuatan parti.

Sehubungan itu, Ahmad meminta semua perwakilan yang menerima surat jemputan hadir ke persidangan khas itu yang turut akan dilangsungkan sambutan ulang tahun UMNO dan sambutan Aidilfitri.

“Majlis akan dimulakan dengan menaikkan bendera sempena hari ulang tahun UMNO, kemudian diikuti ucapan serta amanat Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Seterusnya pembentangan usul pindaan Perlembagaan UMNO oleh Mohamed Khaled disusuli sambutan hari ulang tahun parti dan Hari Raya Aidilfitri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya