KUALA LUMPUR: Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla hari gagal untuk mendapatkan penghakiman terus berhubung tuntutan yuran guaman sebanyak RM12.5 juta daripada parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir turut memerintahkan peguam terbabit untuk membayar kos sebanyak RM3,000. Kes itu kemudiannya ditetapkan untuk perbicaraan penuh pada 18 hingga 22 Mac 2024.
Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan dan afidavit tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.
Peguam Chetan Jethwani yang mewakili parti itu ketika dihubungi selepas prosiding yang dijalankan secara dalam talian turut memberitahu mahkamah menetapkan 18 Januari 2024 untuk pengurusan kes itu.
Sementara itu, Mohamed Haniff ketika dihubungi media mengesahkan perkara itu dan memaklumkan pihaknya akan memfailkan rayuan berhubung keputusan mahkamah hari ini.
Pada Julai 2021, Mohamed Haniff memfailkan saman terhadap parti itu dengan menamakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Bendahari parti, Datuk Salleh Bajuri.
Menurut pernyataan tuntutan yang difailkan, peguam terbabit telah mengeluarkan invois bertarikh 11 Februari 2021 bagi khidmat guaman yang telah diberikan sebelum Bersatu ditubuhkan sehinggalah parti itu meninggalkan Pakatan Harapan (PH) dan membentuk Perikatan Nasional.
Tambah Mohamed Haniff, sebelum pilihan raya umum ke-14, beliau pernah mewakili parti itu dalam saman membabitkan kleptokrasi, rasuah dan penyalahgunaan kuasa terhadap perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.
Selain itu, Mohamed Haniff turut mendakwa telah memberikan khidmat nasihat perundangan, membantu membentuk perlembagaan parti Bersatu dan mengendalikan kes-kes mahkamah membabitkan parti tersebut termasuk berkaitan pendaftaran parti itu dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
Perkhidmatan Mohamed Haniff terhenti selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan ekoran ‘Langkah Sheraton’ pada Februari 2020.
Sementara itu, Bersatu dalam pernyataan pembelaannya mendakwa tiada perjanjian rasmi di antara parti itu dengan Mohamed Haniff berhubung perkhidmatan yang diberikan dan mendakwa kesemua kerja-kerja yang dilakukan peguam itu dibuat secara sukarela dan percuma.
Selain mendakwa bahawa jumlah yang dituntut adalah melampau, parti itu juga mengatakan Mohamed Haniff merupakan peguam peribadi kepada bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bukannya peguam parti berkenaan. – UTUSAN