PETALING JAYA: Pelakon, Anzalna Nasir dan suami, Hanif Zaki menamakan cahaya mata kedua mereka sebagai Mohamad Emirhan.
Perkara tersebut dikongsikan pelakon Aku Isterinya itu menerusi hantaran terbaharu di entri Instagram miliknya.
Menurut Anzalna, dia menamakan anakanda keduanya itu mengikut sunnah Nabi iaitu setelah cukup tujuh hari ia dilahirkan.
Selain itu, dia juga menitipkan doa yang baik-baik buat bayinya agar menjadi anak yang soleh dan berjaya di dunia serta akhirat.
“Sebagaimana sunnah Nabi, setelah cukup tujuh hari, kami ingin mengumumkan selepas ditahnik.
“Anak lelaki tercinta kami dinamakan Mohamad Emirhan Bin Mohamad Hanif yang bermaksud ‘Princely Ruler’.
“Alhamdulillah, semoga membesar menjadi anak yang soleh, berbudi pekerti mulia, pintar, serta berjaya dunia dan akhirat. Amin,” kongsinya di Instagram.
Pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, ruangan komen dibanjiri pelbagai reaksi warganet dan rakan artis.
Rata-rata memuji kecomelan puteranya selain menitipkan doa yang baik-baik buat Emirhan.
Pada Jumaat lepas, Anzalna berkongsi berita gembira di Instagramnya mengenai kelahiran bayinya itu di sebuah pusat perubatan swasta dekat ibu negara.
Untuk rekod, pasangan tersebut berkahwin pada tahun 2016 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Mohamad Eidrees yang kini berusia dua tahun.