KOTA BHARU: Tidak timbul istilah ‘nyawa-nyawa ikan’ dalam Muafakat Nasional (MN) seperti yang didakwa pihak tertentu.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hasan berkata, MN telah berjaya dan mengorak satu langkah yang berkesan untuk menyatukan umat Melayu dalam satu gagasan.
“Untuk mewujudkan gagasan MN bukanlah satu usaha yang mudah sama ada di pihak Pas mahupun UMNO yang bertembung secara terbuka dalam arena politik sudah puluhan tahun.
“Alhamdulillah kita telah berjaya mengorak satu langkah dan bagi saya mereka yang terlibat secara langsung mewujudkan gagasan ini amat sayanginya.
“Jadi orang yang tak sayang kepada MN ini dan mengatakan pelbagai, boleh jadi orang itu tak terlibat sangat atau secara langsung.
“Mereka yang terlibat memang inilah gagasan yang tak pernah berlaku dalam negara kita dan yang menyatukan kumpulan bangsa terbesar dalam negara kita lebih daripada 60 peratus umat Melayu terima konsep ini,” katanya dalam sidang akhbar ketika Jamuan Aidilfitri bersama XCFU Zone dan gimik pelancaran Pintu Gerbang Pasar Malam Wakaf Che Yeh, di sini semalam.
Takiyuddin berkata, dalam piagam MN adalah penyatuan ummah Melayu atas nama Melayu dan Islam ini harus digagaskan oleh semua orang-orang Melayu tanpa mengira fahaman politik.
“Jadi kita nak gagasan ini dianggotai oleh rakyat Malaysia dan orang-orang bukan Melayu bukan Islam serta yang tidak ekstrem menerima konsep ini termasuk bumiputera di Sabah dan Sarawak. Kalau MN dikatakan untuk parti A dan parti B itu tidak betul dan tidak benar.
“Tidak mungkin akan berjaya gagasan MN ini kalau dihadkan kepada kelompok-kelompok tertentu sahaja, jadi kita masih lagi optimis,” katanya.
Selain itu, katanya, MN adalah gagasan terbaik untuk menyatukan rakyat Malaysia pelbagai bangsa, kaum dan mampu mewujudkan satu suasana kestabilan di dalam politik, ekonomi, bidang sosial dan diterajui oleh sebuah kerajaan yang benar-benar stabil.
Semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi dilapor menyifatkan kerjasama dengan Pas menerusi MN ibarat ‘nyawa-nyawa ikan’.
Katanya, masa depan MN biar dibincangkan di peringkat jawatan kuasa kedua-dua parti tersebut. – UTUSAN