‘MN belum berkubur tapi dah tak subur’

‘MN belum berkubur tapi dah tak subur’

AHMAD Maslan menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka Ahli Parlimen Pontian di Rumah Citra Benut, Pontian, Johor. -UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai antara Barisan Nasional (BN) dan Pas belum berkubur tetapi perjanjian itu sudah ‘tidak subur’.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ini disebabkan ahli gabungan MN iaitu Pas memilih untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berbanding UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor. 

“Untuk suburkan kembali (MN) pun kita tak buat keputusan lagi pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT). Ini kerana apa-apa keputusan besar perlu dibuat oleh MKT. Setakat ini, belum ada sebarang perbincangan, malah mesyuarat baru-baru ini pun tidak dibangkitkan mengenai perkara itu,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Pontian. 

Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, penyatuan ummah menerusi MN yang digagaskan oleh Pas dan UMNO disifatkan sebagai formula terbaik.

Takiyuddin berkata, penyatuan itu bukan terhad kepada parti-parti tertentu sahaja, sebaliknya boleh disertai mana-mana parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang mempunyai matlamat sama iaitu ke arah penyatuan ummah seperti yang termaktub dalam piagam itu.

Oleh itu, Pas dilaporkan masih lagi menyeru supaya penyatuan ummah membabitkan semua pihak terutamanya parti-parti Melayu Islam, bumiputera dan parti bukan Melayu yang tidak ekstrem sebagaimana disebut Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Sementara itu, Ahmad berkata, keputusan muktamad mengenai MN belum dibuat pucuk pimpinan UMNO setakat ini. 

“Namun apabila sudah ada keputusan muktamad dibuat nanti, UMNO setiap negeri mestilah patuh terhadap ketetapan itu,” ujarnya.

Katanya, setakat ini, UMNO mengambil haluan seperti apa yang berlaku pada PRN Melaka dan Johor dengan bergerak solo sehingga satu keputusan muktamad dicapai kelak. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya