SHAH ALAM: Sebuah bengkel lori dipercayai menjadi punca penemuan kesan minyak diesel di kawasan longkang awam berhampiran Sungai Langat, Kajang, semalam.
Perkara itu dikesan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dan segera memaklumkan kepada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) untuk tindakan lanjut pada pukul 3.45 petang.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, siasatan awal mendapati terdapat bau seakan-akan minyak diesel dikesan dari longkang keluar ke Sungai Langat.
Katanya, hasil siasatan LUAS turut menemukan sebuah bengkel lori yang disyaki punca insiden pencemaran tersebut.
“Selain itu, sisa minyak ditemukan di longkang berdekatan premis berkenaan. Justeru, Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air diaktifkan bagi menjalankan siasatan menyeluruh.
“Air Selangor meletakkan dua beg serbuk karbon teraktif di longkang berdekatan premis itu bagi menahan sisa minyak daripada memasuki Sungai Langat. Anggaran jarak pencemaran ke tiga lokasi loji rawatan air (LRA) antara 24 hingga ke 44 kilometer (km),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, tindakan kawalan dalam tempoh kurang empat jam itu turut melibatkan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“LUAS mengeluarkan arahan kepada premis terlibat berdasarkan Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 untuk mengalihkan bahan pencemar dan melaksanakan pembersihan segera supaya pencemaran tidak berulang. JAS dan MPKj turut memberi arahan pembersihan kepada pihak premis,” jelasnya.
Kata Loy Sian, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukkan Enakmen LUAS 1999.
“Semua pihak diseru prihatin terhadap kegiatan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air negeri. Sebarang aktiviti mencurigakan boleh dilaporkan kepada LUAS untuk diambil tindakan lanjut,” jelasnya. – UTUSAN