PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin dipersoal mengapa selepas dua tahun baru hendak membuka cerita kononnya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta bantuan campur tangan membabitkan kes mahkamah.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, tindakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu seperti peribahasa ‘terhimpit hendak di atas, terkurung hendak di luar’ yang mana keikhlasan berkawan dengan UMNO hanya mahu berkuasa.
Jelas beliau, Muhyiddin sepatutnya membuka cerita itu lebih awal berbanding mendedahkan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor jika dakwaan berkenaan berlaku pada permulaan penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) seperti dikatakan oleh Ahli Parlimen Pagoh itu.
“Kenapa hanya apabila ditekan oleh UMNO, keluarkan cerita cerita sebegini? Hingga mengguna saluran utama untuk keluarkan dakwaan tersebut setelah tiada lagi kepentingan dengan UMNO? Kenapa tak dari awal?
“Inilah yang dimaksudkan peribahasa ‘terhimpit hendak di atas, terkurung hendak di luar’. Tidak mahu mengambil tanggungjawab atas ketidakikhlasan berkawan dengan UMNO. Bila UMNO bantu pinjamkan majoriti, tiada bunyi. Bila nampak UMNO tak lagi mahu bersama, lain pula.
“Dalam erti kata lain, sama ada ini cerita rekaan atau beliau pentingkan jawatan selaku PM (Perdana Menteri). Pilihlah yang mana satu,” soal Shahril Suffian dalam Facebook beliau hari ini.
Sebelum ini, Muhyiddin mendakwa Ahmad Zahid menunjukkan sejumlah fail berkaitan kes jenayahnya dan meminta bantuan beliau untuk campur tangan dalam prosiding mahkamah.
Menerusi dokumen yang difailkan di Mahkamah Tinggi pada 26 April lalu, Muhyiddin mendakwa Ahmad Zahid membuat permintaan selepas menghadiri mesyuarat di kediaman bekas Perdana Menteri itu.
Muhyiddin menyatakan demikian menerusi afidavit jawapan terhadap permohonan injunksi yang difailkan oleh Ahmad Zahid dalam saman fitnah berhubung dakwaan bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri itu telah meminta bantuannya untuk menyelesaikan atau menangguhkan kes mahkamahnya
Sementara itu, Shahril berkata, Ahmad Zahid telah memimpin UMNO untuk bangkit semula selepas kejatuhan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan menyebabkan pihak lawan termasuk Muhyiddin tidak senang duduk.
Kata beliau, mereka melempar pelbagai tuduhan dengan niat menjatuhkan UMNO meskipun Ahmad Zahid tidak pun disabitkan apa-apa kesalahan lagi.
“Presiden (Ahmad Zahid) sudah berkali-kali mengatakan, beliau mahu bersihkan nama melalui proses mahkamah,” katanya. – UTUSAN