MELAKA: Salah satu faktor bekalan sayur-sayuran berkurangan di negeri ini sejak Jumaat lalu adalah disebabkan kekurangan bekalan daripada pekebun tempatan.
Seorang peniaga di Pasar Awam Bachang di sini, Roslan Hassan, 55, berkata, sejak senario itu berlaku, mereka terpaksa mengambil sayur dari Cameron Highland, Pahang dengan perbezaan harga yang ketara mencecah RM3 sekilogram.
Jelasnya, antara sayur yang diambil dari tanah tinggi termasuklah sawi bunga, sawi biasa, kangkung dan bayam.
“Hari ini tak ramai yang nak pegang cangkul, maaf kata memang anak-anak muda kita tidak mahu pekerjaan yang mengotorkan tangan mereka, termasuklah sebagai pengusaha kebun.
“Kesannya adalah kita kekurangan pembekal daripada pekebun tempatan dan apabila berlaku kekurangan bekalan, terpaksalah ambil hasil dari Cameron Highland,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, harga sayur-sayuran di negeri ini naik mendadak mencecah 50 peratus termasuk sawi bunga yang terpaksa dijual RM10 sekilogram selepas bekalan didakwa berkurangan, sejak Jumaat lalu.
Tinjauan di Pasar Awam, Bachang mendapati, rata-rata peniaga mengeluh dengan situasi tersebut kerana terpaksa menjual beberapa jenis sayur dengan kenaikan harga sekitar RM2 hingga RM5 bagi sekilogram.
Dalam pada itu, tambah Roslan, bekalan kacang panjang juga terjejas pada minggu pertama sambutan Hari Raya Aidilfitri, namun telah kembali pulih kelmarin.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, A. Chandran, 46, memberitahu, harga sayur di pasar tersebut sememangnya mengalami kenaikan, namun masih terkawal.
“Bekalan memang kurang, saya pun ambil dari Cameron Highland, jadi harga naik sikit sebagai contoh kangkung ini selalunya saya jual sekitar RM2.50 sekilogram, hari ini RM4.
“Pekebun tempatan memang kehabisan bekalan, malah situasi ini berlaku sejak Ramadan lalu lagi,” katanya. – UTUSAN