KUALA LUMPUR: Media massa dan kewartawanan Melayu amat memerlukan pemerkasaan secara besar-besaran ketika ini kerana platform media yang menggunakan bahasa Melayu sudah tidak sebanyak seperti zaman dahulu.
Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Ketamadunan dan Pemikiran Islam Antarabangsa (Istac), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican berkata, peranan media massa dan kewartawanan Melayu amat penting kerana merekalah bertanggungjawab mempopularkan tradisi bahasa Melayu.
“Kewartawanan Melayu dan media massa amat kecil ketika ini dan menguncup daripada berpuluh, beratus surat khabar sejak 1876 sehingga tinggal tiga surat khabar arus perdana sekarang ini.
“Sekarang kita ada online, namun media dalam talian tidak kompetitif berbanding dengan media dalam bahasa lain, walaupun dilaporkan 300 juta pengguna bahasa Melayu di media sosial, tapi kalau tengok betul-betul, ia tidak besar berbanding pengguna bahasa lain.
“Media dan kewartawanan Melayu mesti diperkasakan dalam penyebaran dan penggunaan bahasa Melayu, media Melayu dan persuratkhabaran Melayu tidak sepatutnya bergantung kepada pihak swasta, kerajaan mesti membiaya proses media dan kewartawanan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang 9: Bahasa Melayu dan Pembinaan Negara bersempena Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu.
Justeru, katanya, suratkhabar, televisyen, radio perlu membina satu persekitaran yang menggunakan bahasa Melayu secara sepenuhnya.
“Saya ini old school, kalau di kedai-kedai banyak surat khabar Cina, tetapi surat khabar Melayu tidak dijual, tidak ada.
“Apabila tidak terpampang, tidak terlihat maka kesedaran pun tidak ada, yang ada surat khabar Cina pagi sampai petang, walaupun penduduk yang menggunakan bahasa Mandarin lebih kurang 25 peratus sahaja.
“Penduduk bahasa Melayu ada dekat 60 peratus, ada yang tidak kena dengan pengusaha media Melayu dan ada yang tak kena dengan pembaca Melayu.
“Masalahnya bukan masalah bahasa, tetapi masalah pengguna bahasa itu sendiri, jadi ini pengusaha media mesti fikir,” katanya.
Beliau turut mencadangkan beberapa perkara seperti menggunakan kartun dalam bahasa Melayu, menceritakan semula sejarah Melayu, kempen bahan kesusasteraan Melayu, jenamakan semula majalah DBP dan Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu diangkat status kepada lebih tinggi dari Anugerah Tokoh Akademik Negara dan disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Beliau juga mencadangkan supaya menggunakan papan iklan untuk menyampaikan mesej bahasa Melayu seperti pantun di bandar, pekan dan sepanjang lebuh raya. – UTUSAN