IPOH: Mayat mangsa kedua tragedi kepala air di Hutan Simpan Gunung Suku, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini Ahad lalu, berjaya ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) hari ini.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Arif berkata, mayat mangsa yang masih dalam keadaan baik itu dijumpai oleh Unit Anjing Pengesan (K9) bomba pada pukul 11.20 pagi
Katanya, mayat tersebut ditemukan di bawah timbunan tanah dan batu di sektor C berhampiran kawasan terowong dekat jalan utama.
“Kerja-kerja mengeluarkan mayat mangsa segera dijalankan dan mayat diserahkan kepada pihak polis pada pukul 11.55 pagi untuk tindakan lanjut.
“Ketika ditemui, mayat masih lengkap cuma terdapat kesan kecederaan di badan dan kepala,” katanya di sini hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, pasukan penyelamat yang melakukan operasi pencarian telah menemukan anggota tubuh manusia dipercayai milik pendaki yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan kepala air di Hutan Simpan Gunung Siku.
Kaki bahagian kiri itu dijumpai anggota Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) Ahad lalu, sekitar pukul 5.05 petang, pada jarak 300 meter dari lokasi terakhir mangsa dihanyutkan arus deras kepala air.
Operasi yang disambung pada keesokkan hari pula berjaya menemukan separuh badan bahagian atas dari pusat yang dijumpai dalam timbunan tanah pada pukul 10.20 pagi.
Menerusi laporan media Ahad lalu, dua pendaki wanita dikhuatiri hilang selepas dihanyutkan kepala air ketika melakukan aktiviti pendakian bersama 27 individu lain di Hutan Simpan Kekal Gunung Suku.
Mangsa dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46. – UTUSAN