IPOH: Seorang lelaki maut setelah terjatuh dari basikal ditunggangnya yang dipercayai hilang kawalan ketika menuruni cerun dari arah Cameron Highlands menghala ke Simpang Pulai di sini, petang semalam.
Dalam kejadian berhampiran Dynasty Memorial Hill Imperium itu, mangsa, Foo Hua Bin, 34, mengalami kecederaan di kepala dan maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 2.35 petang membabitkan mangsa yang juga merupakan pembantu khas kepada seorang wakil rakyat.
Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang basikal disyaki dalam perjalanan menuruni cerun dari arah Cameron Highlands menghala ke Simpang Pulai.
“Basikal ditunggang mangsa hilang kawalan lalu terbabas di atas jalan raya. Mangsa yang parah di kepala maut di tempat kejadian manakala basikalnya tidak mengalami kerosakan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan satu laporan SDR dibuka untuk siasatan lanjut pihak polis,” katanya.
Menurut beliau, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhamad Shahrul Rizwan Wan Ali di talian 013-621853.
“Pihak polis ingin menasihati peminat sukan berbasikal agar sentiasa mengamalkan sikap berhati-hati semasa menunggang basikal di atas jalan raya, khususnya di kawasan-kawasan cerun yang berbahaya.
“Mereka juga diminta agar memastikan aspek mekanikal basikal dalam keadaan baik untuk mengelakkan berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya. – UTUSAN