Masih tiada keperluan mendesak bubar Parlimen 

Masih tiada keperluan mendesak bubar Parlimen 

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pas sekali lagi menegaskan tiada sebarang keperluan mendesak untuk Parlimen dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ketika ini, pentadbiran di peringkat Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bergerak teratur mengikut perlembagaan negara.

“Pandangan ini selaras dengan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa kerajaan sedia ada perlu diberi peluang menyelesaikan tugas membabitkan fasa pemulihan negara.

“Pemulihan ini adalah dari segi kesihatan, ekonomi, sosial dan sebagainya. Jadi perlu diberi peluang kepada kerajaan yang sedang berjalan ini untuk menyelesaikan pasca pemulihan,” katanya dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Tenaga dan Sumber Asli di sini, hari ini.

Terdahulu, Abdul Hadi dilaporkan berkata, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ada hari ini perlu diberi peluang untuk terus mentadbir negara hingga berakhirnya penggal semasa.

Pada Mac lalu, Pas memutuskan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri dikuasainya iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah lebih awal.

Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, secara umumnya dari segi perlembagaan, Parlimen mempunyai tempoh sehingga bulan Julai 2023.

“Tempoh ini mengambil kira daripada hari pertama persidangan parlimen pada tahun 2018, bukan daripada tarikh pilihan raya.

“Jadi pada bila-bila masa sebelum tempoh tersebut, parlimen boleh dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat nasihat Kabinet,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, bagi menghadapi PRU-15, Pas kini dalam persediaan menguatkan parti dengan cara menambah cawangan bilangan ahli.

“Pas sentiasa mengadakan mesyuarat bulanan dan setiap bulan kita menerima sebanyak 2,000 ahli baharu. Sekarang ini kita sudah mempunyai 197 Pas kawasan di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya