ALOR GAJAH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas 26 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM1.4 juta di Pantai Tanjung Sepat di sini, Isnin lalu.
Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, dadah berkenaan ditemukan dalam sebuah beg berwarna kelabu ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di tepi tebing Pantai Kampung Tumbuk, kira-kira pukul 10.00 malam.
Beliau berkata, pemeriksaan di sekitar lokasi tidak menemukan suspek atau bot kerana dipercayai melarikan diri.
“Hasil pemeriksaan ke atas beg berkenaan menemukan 26 peket berwarna kuning berisi hablur kristal yang disyaki dadah jenis syabu. Hasil siasatan mendapati dadah berkenaan cuba diseludup ke negara jiran dan dipercayai boleh dibekalkan kepada lebih 56,000 penagih.
“Rampasan dibuat berdasarkan maklumat hasil risikan selama dua bulan dan pengesanan aktiviti mencurigakan di perairan Tanjung Sepat.
“Berikutan itu, seramai lima anggota yang sedang melaksanakan rondaan operasi khas digerakkan ke lokasi bagi mengesan dan memantau situasi serta suspek,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan di Kuala Linggi di sini, hari ini.
Tambah Iskandar, dadah berkenaan dipercayai sengaja ditinggalkan dan akan diambil oleh pihak seterusnya untuk diseludup ke negara jiran.
“Kita menunggu di tempat kejadian jika ada orang yang akan mengambil, namun kita percaya mungkin suspek ada berdekatan serta menyedari kehadiran kami. Kesemua dadah yang ditemukan itu diserahkan kepada pegawai penyiasat dan kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya. – UTUSAN