Manifesto kerajaan negeri Pulau Pinang capai 90 peratus 

Manifesto kerajaan negeri Pulau Pinang capai 90 peratus 

CHOW KON YEOW ketika membentangkan pencapaian Manifesto 2018 Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Auditorium A, Komtar, Georgetown, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Sebanyak 68 manifesto kerajaan negeri Pulau Pinang mencapai 90 peratus pelaksanaan dengan 54 janji telah ditepati, 12 dalam pelaksanaan manakala dua lagi tidak akan dilaksanakan ekoran terdapat pertindihan dengan program Kerajaan Pusat.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, beliau yakin baki 10 peratus lagi manifesto berkenaan akan dapat dicapai bersama barisan kepemimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang seperti mana yang telah dibuktikan dalam cabaran menempuh tempoh pandemik Covid-19.

”Empat tahun lalu, 9 Mei merupakan tarikh keramat yang mana rakyat Pulau Pinang telah memberi mandat dan kepercayaan kepada kita.

”Sehingga hari ini iaitu genap empat tahun, hasil titik peluh bersama kita telah mencapai 90 peratus daripada jumlah manifesto secara keseluruhan,” katanya ketika membentangkan pencapaian Manifesto 2018 kerajaan negeri Pulau Pinang di Auditorium A, Komtar di sini hari ini.

Terdapat 11 tema utama di bawah Manifesto ‘Saya Sayang Pulau Pinang’ yang dibentangkan pada tahun 2018 antaranya seperti pentadbiran cekap, akauntabiliti, telus (CAT), perumahan untuk semua, negeri keusahawanan, meningkatkan kemudahan asas, negeri hijau, pembangunan pendidikan dan kemahiran dan lain-lain lagi.

Mengulas lanjut Kon Yeow berkata, antara kejayaan di bawah tema pentadbiran CAT ialah jawatan Ketua Menteri telah dihadkan kepada dua penggal melalui pindaan terhadap Perkara 7, Klausa 2 (a) – Perlembagaan Negeri Pulau Pinang pada 31 Januari 2019.

“Saya percaya hanya Pulau Pinang yang mempunyai perkara sebegini (jawatan Ketua Menteri dihadkan kepada dua penggal).

“Selain itu, kerajaan negeri juga telah menerima Sijil Ketua Audit Negara mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tanpa teguran selama tiga tahun berturut-turut mulai 2018 hingga 2020,”katanya.

Dalam pada itu tambah beliau, tema Pulau Pinang sebagai sebuah negeri hijau ditunjangi dengan 11 manifesto iaitu yang tertinggi dan secara keseluruhannya, tiga janji masih dalam proses pelaksanaan manakala yang selebihnya telah ditepati sepenuhnya.

”Sejak 2008, kerajaan negeri memberi tumpuan utama untuk membangunkan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri hijau dan memastikan kawasan Hutan Simpan Kekal yang diwartakan ditambah tetapi tidak boleh dikurangkan.

”Pulau Pinang merupakan antara negeri yang tidak mengamalkan kaedah pembalakan di kawasan Hutan Simpan Kekal dan pada 2020, keluasan Hutan Simpan Kekal di Pulau Pinang telah ditingkatkan sebanyak 5.5 peratus iaitu berkeluasan 5,386.77 hektar,” katanya.

Tambahnya, turut membanggakan sepanjang 10 tahun lalu adalah tiada catuan air di negeri ini dan sehingga kini kadar tarif air domestik adalah yang terendah dalam negara. –UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya