MERSING: Pejabat Daerah akan menempatkan mangsa kebakaran yang terlibat kejadian di Kampung Gajah Mati di Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Sri Pantai sebagai penempatan sementara sehingga projek bina baharu rumah siap dilaksanakan.
Pegawai Daerah Mersing, Mohammed Shakib Ali berkata, ia sebagaimana yang diperkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahu membantu membina baharu rumah mangsa melalui Yayasan Sultan Ibrahim.
Katanya, Pejabat Daerah Mersing juga telah mengambil beberapa langkah proaktif untuk membantu mangsa antaranya melalui sumbangan awal berupa wang tunai.
“Sumbangan awal berupa wang tunai oleh Pejabat Daerah Mersing, Majlis Agama Islam Johor, ADUN Tenggaroh, UMNO Bahagian Mersing, Ahli Parlimen Mersing dan Amanah Ikhtiar Malaysia. Mangsa juga menerima sumbangan kelengkapan peribadi dan bakul makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), MRA dan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT).
“Kini, mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kompleks Penghulu Mukim Jemaluang di mana penyediaan makan minum ditanggung dan diselaraskan JKM,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, kebakaran yang melibatkan dua buah rumah itu menyebabkan 31 ahli keluarga terlibat tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah dijilat api ketika sedang memasak ketupat palas untuk disedekahkan.
Dalam kejadian pada pukul 4.45 petang, Rabu lalu itu turut menyebabkan 12 ekor kucing yang berada di dalam sangkar di rumah berkenaan mati.
Salah seorang mangsa, Zawiyah Ripin, 54, berkata, kejadian itu berpunca daripada tempat memasak di bengkel membuat ketupat palas yang terletak di bahagian tengah antara dua buah rumah terbabit.
Kerugian ditanggung termasuk mesin dan perkakasan di bengkel dan kedua-dua buah rumah dianggarkan melebihi RM100,000. Kesemua mangsa juga turut menerima lawatan dari Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang turut bersimpati dengan kejadian berlaku. – UTUSAN