Makmal bergerak Mosti bernilai RM10 juta siap tahun depan - Utusan Malaysia

Makmal bergerak Mosti bernilai RM10 juta siap tahun depan

DR. Adham Baba (tengah) merasmikan Program Kimia ke Desa di Kampung Semangar, Kota Tinggi hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) sedang membangunkan sebuah makmal bergerak bernilai RM10 juta yang dijangka siap hujung tahun hadapan.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, makmal berkenaan bertujuan agar siasatan pantas dan tepat dapat dilakukan sekiranya berlaku kes pencemaran kimia di negara ini.

Kata beliau, makmal yang dibangunkan menerusi Jabatan Kimia itu akan digerakkan ke lokasi terjejas sekiranya berlaku pencemaran kimia dalam kawasan Semenanjung.

“Kita juga sedang membangunkan dua unit bergerak Jabatan Kimia kerana ia perlu terutama sekali berlaku wabak atau kes-kes pencemaran di lokasi tertentu. Dua unit bas makmal bergerak bernilai RM200,000 ini akan ditempatkan di Johor Bahru dan Bintulu, Sarawak.

“Bagi makmal bergerak yang sedang dibangunkan dan dijangka mula beroperasi pada hujung 2023 akan diletakkan di ibu pejabat Jabatan Kimia. Johor Bahru dipilih kerana dilaporkan berlaku banyak kes pencemaran berkaitan bahan kimia sebelum ini. Bintulu pula berikutan ia kawasan industri minyak dan gas,” katanya selepas merasmikan Program Kimia ke Desa di Kampung Semangar, hari ini.

Tambahnya, langkah membina makmal terbabit merupakan pendekatan terbaharu dan proaktif bagi Jabatan Kimia untuk berdepan dengan pencemaran terutama melibatkan bahan kimia selepas ini.

“Mosti juga akan memohon peruntukkan tambahan daripada kerajaan Pusat bagi memperluas unit makmal bas bergerak ke lebih banyak negeri selepas ini. Langkah itu dapat memastikan rakyat di negara ini dapat dilindungi daripada pencemaran berbahaya terutama kimia sekiranya ia berlaku, selain menjamin masa depan yang lebih baik,” katanya.

Sementara itu, Program Kimia ke Desa merupakan inisiatif Jabatan Kimia untuk menarik minat dan memupuk kesedaran masyarakat desa terutama golongan belia dan pelajar terhadap bidang sains teknologi dan inovasi.

Pelbagai acara menarik diadakan sepanjang program berlangsung antaranya pameran interaktif berkaitan fungsi dan peranan jabatan berkenaan, Ikon Kimia, pertandingan Crime Scene Investigation, wacana ilmu, gotong royong dan sukaneka.

Dr. Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara turut mengalu-alukan penduduk yang mengusahakan industri kecil sederhana (IKS) berasaskan makanan boleh memohon khidmat Jabatan Kimia untuk menganalisis sampel makanan bagi memastikan kualiti dan keselamatan sampel dipasarkan mengikut piawaian ditetapkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya