Maklumat pegawai atasan ditolak dalam kes rasuah Bung Moktar

Maklumat pegawai atasan ditolak dalam kes rasuah Bung Moktar

BUNG Moktar Radin dan Zizie Izzete.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memutuskan maklumat yang diperolehi oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada sumber yang tidak diketahui, tidak boleh dikemukakan pada perbicaraan kes rasuah melibatkan Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Maklumat itu diperolehi oleh Penguasa Kanan Mohd. Haris Ibrahim daripada salah seorang pegawai atasannya yang membawa kepada siasatan terhadap Bung Moktar dan isterinya, Datin Seri Zizie Izzette A. Samad.

Hakim Rozina Ayob ketika membenarkan bantahan awal pihak pembelaan berpuas hati bahawa maklumat itu tidak boleh dianggap sebagai laporan maklumat pertama (FIR) kerana ia tidak mematuhi peruntukan di bawah Akta SPRM 2009.

Mohd. Haris, 42, yang merupakan saksi terakhir pendakwaan ketika memberi keterangan pada 12 April lalu menyatakan, pada 9 Jun 2016 beliau menerima arahan daripada pegawai atasan itu di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk menulis aduan berkaitan satu kes.

Maklumat itu bagaimanapun dibantah oleh pihak pembelaan atas alasan ia bersifat dengar cakap (hearsay) dan boleh memprejudiskan Bung Moktar yang kini dibicarakan atas pertuduhan rasuah manakala  isterinya didakwa bersubahat.

Pada perbicaraan lalu, pihak pembelaan berhujah, aduan tersebut tidak boleh dianggap sebagai FIR kerana ia dibuat berdasarkan maklumat yang diterima daripada seorang pegawai atasan selaku pihak ketiga, bukan daripada pemberi maklumat.

Oleh yang demikian, peguam Datuk K. Kumaraendran berhujah, pihak pendakwaan cuba menggunakan ‘pintu belakang’ agar laporan itu diterima masuk oleh mahkamah sebagai keterangan walhal tiada pihak yang tampil membuat aduan.

Peguam M. M. Athimulan pula berhujah, laporan itu tidak boleh diterima masuk sebagai keterangan kerana tiada seorang pun membuat laporan kepada mana-mana pegawai SPRM.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How berhujah, aduan yang diterima daripada pegawai atasan itu dikategorikan sebagai FIR bagi membolehkan siasatan dimulakan dan pasukan siasatan tidak bergantung pada laporan itu semata-mata ketika menjalankan siasatan.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Sophian Zakaria berhujah, SPRM mempunyai tatacara khusus yang memberi kuasa istimewa untuk menyiasat aduan dan maklumat yang diterima daripada pemberi maklumat.

Hujah beliau, mahkamah tidak boleh menyamakan tatacara tersebut dengan siasatan kes-kes lain kerana SPRM melindungi pemberi maklumat.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500.

Rasuah itu sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar, selaku Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, dituduh menerima rasuah daripada Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Tertuduh juga didakwa menerima suapan wang tunai untuk dirinya sebanyak RM335,500 daripada Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab yang sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan suaminya melakukan perbuatan itu di tempat dan tarikh yang sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya