KUALA SELANGOR: Majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Persatuan Penduduk Saujana Utama 1, Saujana Utama (SUtRA1), Sungai Buloh dengan kerjasama Masjid An-Nur (MAN) dekat sini malam ini berlangsung meriah dengan dihadiri pelbagai kaum.
Majlis yang bermula pukul 8 malam dan berakhir tiga jam kemudian dimeriahkan dengan kehadiran lebih 1,000 penduduk kejiranan Jalan Seri Pagi dan anak-anak kariah MAN.
Pelbagai sajian dihidangkan dengan menu utama adalah kambing bakar, gulai kambing, laksa, nasi goreng, ketupat, lemang serta rendang ayam dan kuah lodeh, buah-buahan tempatan, cendol dan aneka minuman kordial.
Pengerusi SUtRA1, Wan Ismail Hashim berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan orang ramai mula hadir kira-kira pukul 8 malam menikmati pelbagai juadah yang disediakan.
Katanya, majlis itu dijalankan secara gotong-royong sebagai menyuburkan kembali semangat kejiranan sesama ahli SUtRA1 dan juga ahli jawatankuasa MAN.
“Alhamdulillah, majlis yang kita rancang dalam tempoh seminggu lalu berjalan lancar dan kanak-kanak pun gembira kerana dapat duit raya.
“Terima kasih kepada semua pihak yang menyumbang sama ada tenaga, masa mahu pun wang ringgit dalam menjayakan majlis malam ini,” katanya ketika ditemui malam tadi.
Kawasan perumahan fasa 1, Jalan Seri Pagi dibuka pada tahun 2000. Saban tahun SUtRA1 menganjurkan pelbagai aktiviti sebagai platform saling kenal mengenali antara satu sama lain sebelum ia terhenti akibat pandemik Covid-19, dua tahun lalu.
Menambah kemeriahan adalah pertunjukan bunga api yang diadakan tiga kali sepanjang program.
Sementara itu, Nazir MAN, Hamzah Md. Amin menyifatkan majlis tersebut mencapai matlamatnya untuk mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan ahli kariah masjid dan jiran tetangga.
Katanya, pihak masjid sentiasa memberi kerjasama terhadap mana-mana program yang bermanfaat dan juga yang dapat memupuk keharmonian semasa insan sesuai dengan masyarakat majmuk di negara ini.
“Insya-Allah kita akan meneruskan program-program seperti ini di masa akan datang kerana ia terbukti dapat mengeratkan lagi hubungan sesama penduduk,” katanya. – UTUSAN