KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan prosiding kebankrapan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya, Datuk Mohd. Nazifuddin kerana gagal melunaskan tunggakan cukai pendapatan berjumlah lebih RM1.7 bilion sehingga rayuan berhubung perkara itu diputuskan di Mahkamah Persekutuan.
Peguam Wee Yeong Kang yang mewakili dua beranak itu ketika dihubungi media memberitahu, penggantungan tersebut dibuat Timbalan Pendaftar, Ida Rahayu Sharif selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Pekan itu dan anaknya ketika pengurusan kes berkenaan secara dalam talian.
Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 4 Oktober ini.
Pada 10 Mei lalu, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersidang bersama-sama Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Mary Lim Thiam Suan memberikan kebenaran kepada Najib dan Mohd. Nazifuddin untuk merayu berhubung tuntutan tunggakan cukai itu.
Bagaimanapun tarikh pendengaran rayuan itu masih belum ditetapkan.
Najib dan Mohd. Nazifuddin memfailkan permohonan tersebut selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan mereka untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memberikan penghakiman terus berhubung pembayaran cukai masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta kepada LHDN.
Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN memfailkan saman terhadap Najib menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
LHDN, melalui kerajaan Malaysia juga memfailkan writ saman terhadap Mohd. Nazifuddin pada 24 Julai 2019, mendakwa Mohd Nazifuddin masih belum membayar cukai untuk tahun taksiran dari 2011 hingga 2017 berjumlah RM37,644,810.73 seperti yang dinyatakan melalui notis taksiran bertarikh 15 Mac 2019.
Najib dan Mohd. Nazifuddin juga menerima notis kebankrapan daripada LHDN kerana gagal melunaskan cukai pendapatan seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi.
Pada 20 Oktober 2021, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib dan Mohd. Nazifuddin untuk menangguhkan pembayaran tunggakan cukai pendapatan itu sementara menunggu rayuan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan selepas mendapati terdapat keadaan istimewa yang mewajarkan pembayaran ditangguhkan sementara. – UTUSAN