Mahkamah bebas individu pertama didakwa di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat - Utusan Malaysia

Mahkamah bebas individu pertama didakwa di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat

WAFIY Abd. Aziz (kiri) ditemani Baljit Singh keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas dibebas daripada tuduhan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat. - UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan individu pertama yang didakwa di negara ini di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 melibatkan pertuduhan menyebabkan seorang pegawai atasan dipecat berhubung pemberian maklumat salah laku.

Hakim Suzana Hussain memutuskan demikian terhadap bekas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Education Malaysia Global Services (EMGS), Wafiy Abd. Aziz, 37, tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan tersebut.

Beliau berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya selepas meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan, hujahan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak serta otoriti undang-undang yang dikemukakan.

Mahkamah turut mengarahkan wang jaminan RM15,000 yang ditetapkan sebelum ini dikembalikan kepada Wafiy manakala tarikh-tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan, dilapangkan.

Sepanjang perbicaraan yang bermula 27 April 2021, mahkamah mendengar keterangan 17 saksi pendakwaan antaranya termasuk dua saksi utama iaitu Pengerusi EMGS, Datuk Abdul Rahman Mohamed Shariff dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahinuddin Shariff.

Sejurus selepas keputusan diumumkan, Wafiy yang dihadapkan ke mahkamah pada 18 September 2020, dilihat memeluk isterinya yang ketika itu duduk di galeri awam.

Tertuduh merupakan individu pertama didakwa di negara ini mengikut Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711), sejak ia berkuat kuasa pada 2010.

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Mohd. Afif Ali hadir mewakili pihak pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Wafiy didakwa telah mengambil tindakan yang memudaratkan seorang pemberi maklumat dengan cara mengapi-apikan Abdul Rahman supaya menandatangani dokumen penamatan pekerjaan ke atas lelaki itu.

Pemecatan tersebut sebagai suatu tindakan balas terhadap pendedahan pegawai itu yang merupakan pemberi maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan kelakuan tidak wajar tertuduh.

Wafiy didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat EMGS di Jalan Mayang Sari di sini, 9 Januari 2020. Syarikat itu menguruskan pengambilan penuntut warga asing.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 10(3)(b) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 10(6) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum 15 tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, peguam Datuk Dr. Baljit Singh yang mewakili Wafiy ketika ditemui wakil media di luar mahkamah berkata, keterangan saksi-saksi ketika perbicaraan kes, jelas menunjukkan siasatan yang dijalankan oleh SPRM tidak sempurna.

Peguam bela berpendirian, anak guamnya merasakan telah dianiaya kerana dia tidak pernah mengapi-apikan pegawai atasannya agar memecat individu berkenaan.

“Proses pemberian maklumat di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 tidak teratur, mungkin kerana ini kes pertama (didakwa di mahkamah) dan SPRM perlu memperbaikinya,” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya