KUALA LUMPUR: Kerajaan telah mengarahkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menyediakan pelan jangka panjang dan pendek bagi mengelak krisis makanan daripada berlaku di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya sentiasa memberi perhatian terhadap masalah dihadapi peladang terutamanya dalam situasi dunia sekarang yang mengakibatkan peningkatan kos bahan mentah.
Jelas beliau, kebimbangan tidak cukup bekalan makanan merupakan isu global bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga seluruh dunia.
Justeru kata beliau, kementerian itu juga diminta supaya mengambil tindakan segera berhubung isu kos sara hidup yang meningkat.
“Dalam hal ini, kerajaan menggesa Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) melaksanakan perubahan dan anjakan paradigma bagi memastikan negara mempunyai bekalan makanan yang mencukupi.
“Kedua, Nafas perlu memberi ‘nafas’ baharu kepada sektor makanan berasaskan pertanian melalui penerapan teknologi tinggi dan pendigitalan bagi meningkatkan pengeluaran pertanian sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import makanan.
“Suka saya menarik perhatian bahawa Malaysia pada ketika ini membelanjakan lebih RM50 bilion untuk mengimport bahan makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Nafas Ke-46 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, langkah ketiga adalah menghapuskan orang tengah yang pernah dilakukan beliau ketika menerajui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
“Saya telah mengisytiharkan 2014 sebagai tahun ‘Jihad Memerangi Orang Tengah’ kerana mereka inilah yang memerah keringat petani dan nelayan dan memanipulasikan harga di pasaran.
“Jihad ini perlu diteruskan oleh Nafas menerusi strategi penguasaan rantaian bekalan seperti mewujudkan Pusat Pembelian Padi, Pusat Pengumpulan Buah-Buahan, penambahan pasar tani serta pasar-pasar nelayan,” katanya.
Kata Perdana Menteri, isu bekalan makanan berlaku ekoran pandemik Covid-19 mengekang kegiatan pertanian sekali gus mengurangkan eksport makanan pengeluar kerana mereka lebih mengutamakan keperluan dalam negara masing-masing.
Menurut beliau, keadaan bertambah buruk apabila berlaku peperangan Russia-Ukraine yang memberikan tekanan terhadap rantaian bekalan di seluruh dunia.
“Peningkatan kadar inflasi merupakan satu fenomena global yang turut dialami kebanyakan negara akibat gangguan rantaian bekalan makanan.
“Sebagai contoh, Amerika Syarikat mengalami inflasi sebanyak 8.5 peratus, United Kingdom tujuh peratus, Singapura 5.4 peratus, Australia 4.5 peratus dan Indonesia 2.6 peratus.
“Bagaimanapun Malaysia mencatat kadar inflasi sebanyak 2.2 peratus, lebih rendah berbanding negara-negara lain yang telah mencatatkan kenaikan mendadak.
Namun begitu kata Ismail Sabri, jika perang berpanjangan, pihaknya bimbang kesan yang lebih buruk terhadap input pertanian seperti harga baja, racun dan sebagainya. – UTUSAN