JOHOR BAHRU: Warna hijau madu lebah dari Sabah yang dikaitkan dengan kandungan klorofil tinggi disamping mempunyai khasiat yang luar biasa tidak terdapat pada mana-mana kandungan madu tempatan lain.
Ketua kajian Madu Hijau Borneo, Prof. Dr. Fahrul Huyop berkata, madu yang lebih gelap warnanya itu mempunyai kandungan asid amino yang tinggi iaitu L-histidine, L-leucine, dan L-triptophan serta asid amino trans-4-hidroksi- proline yang merupakan bahan utama bagi membina kolagen.
Katanya, kajian yang dilakukan terhadap madu hijau yang diperoleh dari bawah tanah itu mendapati, kualiti dan kesahihannya terbukti kerana sebelum ini ia sering dikaitkan dengan pengolahan kandungan untuk keuntungan pihak tertentu.
“Nilai komersial madu bergantung kepada warna, di mana madu di pasaran biasanya berwarna cerah seperti kuning keemasan yang lebih mendapat perhatian pembeli berbanding warna hitam. Tetapi dari segi khasiat, madu yang lebih gelap ada kandungan antioksida tinggi yang berupaya memusnahkan radikal bebas dalam badan manusia.
“Menariknya, warna hijau madu lebah dari Sabah ini juga dikaitkan dengan kandungan klorofilnya yang tinggi disamping mempunyai khasiat yang luar biasa yang tiada dalam mana-mana madu tempatan lain seperti Tualang, Gelam dan madu kelulut,” katanya ketika ditemui, di sini.
Dr. Fahrul berkata, kumpulan penyelidik Jabatan Biosains dan Jabatan Kimia, Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia (UTM) juga telah bekerjasama dengan syarikat NS Field Sdn. Bhd. bagi projek kajian Madu Hijau Borneo itu.
Selain beliau, pasukan penyelidik itu turut dianggotai Pensyarah Jabatan Kimia UTM, Prof. Madya Dr. Roswanira Ab. Wahab dan Pakar Sains Makanan dan Pemakanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Nurul Huda yang turut dibantu Dr. Amir Husni Shariff dan pelajar ijazah sarjana, R. Nanthini.
Menurut Dr. Fahrul, madu tersebut berasal dari lebah genus Apis iaitu salah satu sumber asli Sabah dari Pulau Banggi yang terletak di utara Borneo, dan dalam masa terdekat mereka akan menjalankan kajian metagenomik ‘shotgun’ terhadap madu itu bagi menguatkan lagi kajian.
“Kerjasama antara UTM dan NS Field ini dijalankan bagi meyakinkan orang ramai tentang kualiti dan kesahihan produk madu lebah hijau. Kajian selama lebih setahun ini telah membuahkan hasil kepada pihak industri.
“Hasil dapatan kajian ini dapat meningkatkan kefahaman tentang sebahagian besar biodiversiti mikroorganisma dalam madu hijau di mana ia mendedahkan pelbagai jenis mikroorganisma yang wujud beserta proses metabolik yang berlaku dalam komuniti tersebut,” katanya.
Tambahnya, maklumat itu berguna untuk pengguna yang semakin prihatin dengan kualiti pemakanan disamping meningkatkan potensi dan populariti industri madu dari Sabah itu selain sebagai simbol kekayaan biodiversiti dan membina sosio ekonomi masyarakat.
Sementara itu, Pengarah Urusan NS Field, Carmen Wong berkata, produk itu mendapat sambutan baik bukan sahaja di Malaysia, malah turut dieksport ke China, Korea, Hong Kong dan Jepun.
“Data baharu yang diperoleh sangat berguna untuk dijadikan sumber rujukan dan penanda aras bagi kajian selanjutnya berkenaan madu tempatan berbanding madu Manuka dari Australia dan sesetengah madu dari Eropah dan Timur Tengah,” katanya. –UTUSAN ONLINE