MELAKA: Tindakan kerajaan negeri meluluskan tambakan laut hampir 3,080 ekar hanya dalam jangka masa dua tahun iaitu 2020 dan 2021, khususnya untuk Zon Pembangunan Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ) dikhuatiri mendatangkan impak negatif kepada Selat Melaka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong berkata, perubahan ekosistem di Selat Melaka didakwa boleh mengundang bencana banjir yang lebih teruk kepada rakyat negeri ini.
Katanya, ini kerana berdasarkan jawapan diberikan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Mac tahun ini, jumlah keseluruhan tambakan laut sepanjang lima tahun dari 2016 sehingga 2021 adalah berkeluasan 4,679 ekar.
“Mengikut jawapan yang diberikan dalam persidangan dewan Mac tahun ini, kerajaan negeri meluluskan tambakan laut seluas 1,200 ekar kepada sebuah syarikat pada 8 April 2020 iaitu selepas Langkah Sheraton.
“Seterusnya pada 29 Jun 2021, sejumlah 1,190 ekar tambakan laut diluluskan pada sebuah lagi syarikat. Tak sampai tiga bulan, September tahun lepas M-WEZ diluluskan. Saya berpendapat bahawa, keluasan tanah tambakan laut ini tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat biasa di Melaka.
‘Ia dijangka membawa impak negatif seperti banjir kilat dan ekosistem di Selat Melaka. Saya ingin menyeru sungguhpun M-WEZ diluluskan dalam DUN, maka kelulusan ini harus dibatalkan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat,” katanya dalam sidang akhbar khas di Pejabat Ahli Parlimen Kota Melaka di sini, hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan negeri disaran membatalkan tujuh projek di bawah M-WEZ kerana didakwa berpotensi tinggi menjadi ‘projek gajah putih’.
Poay Tiong berkata, pandangan itu berasaskan susulan pelan induk untuk M-WEZ yang dibentang baru-baru ini selepas pelancaran projek tersebut pada April 2021, dilihat tidak memberi pulangan maksimum kepada rakyat.
“Antara projek itu ialah Menara Ikonik M-WEZ setinggi 200 meter, pintu gerbang selamat datang dan pembinaan 22 buah jambatan dengan kos RM216 juta. Selain itu adalah M-WEZ Sky Wheel (roda pemerhati raksasa), chalet atas air, puluhan pejabat dan kondominium mewah dan terusan air ala Venice,” katanya. – UTUSAN