JOHOR BAHRU: Mahkamah Majistret Tangkak memberikan perintah pelepasan bukan pembebasan terhadap Abdul Hamim Ab. Hamid atau lebih dikenali sebagai Long Tiger yang menghadapi pertuduhan itu di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan.
Peguam kepada lelaki berketurunan Rohingya itu, Datuk Shaharudin Ali memberitahu, perintah berkenaan dikeluarkan Majistret Zaridah Abdul Jaapar, hari ini.
“Majistret membuat perintah itu selepas kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan membuat hujahan lisan ekoran kematian mengejut saksi utama pendakwaan, Luqman Hakeem Othman pada pertengahan perbicaraan.
“Pihak pembelaan masih belum menyelesaikan pemeriksaan terhadap saksi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan ringkas di sini hari ini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syamilah Jalaluddin manakala tertuduh diwakili Shaharudin dan juga Azfar Azmi.
Pada 20 Januari lalu, Long Tiger dijatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Tangkak kerana melarikan diri daripada tahanan dari mahkamah itu kira-kira pukul 11.55 pagi, 15 Disember 2021.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa melarikan diri daripada lokap mahkamah dengan menggunakan alasan untuk membuang air besar dan telah meminta anggota polis yang ditugaskan untuk membuka gari.
Tertuduh kemudiannya mengambil kesempatan untuk melarikan diri ketika melibat pintu sel tidak berkunci dan bertindak melarikan diri keluar dengan menghala ke pintu utama mahkamah.
Ketika melarikan diri, tertuduh juga telah dikejar beberapa anggota polis, namun berjaya lolos dengan bersembunyi di kawasan semak-samun berhampiran mahkamah sebelum berjaya melarikan diri ke Sungai Petani, Kedah.
Penjenayah paling dikehendaki dalam buruan polis itu kemudiannya ditangkap pada 28 Disember, sebelum empat individu lain termasuk lelaki yang berperwatakan perempuan yang di Sungai Petani serta di Yong Peng, Batu Pahat ditahan keesokannya.
Semasa tangkapan Long Tiger dibuat oleh polis Bukit Aman itu, tertuduh mengalami beberapa kecederaan selepas tergelincir dari bumbung rumah ketika cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa. – UTUSAN