Loji Rawatan Air Ngoi-Ngoi Fasa 2 penuhi permintaan air bersih, terawat 

Loji Rawatan Air Ngoi-Ngoi Fasa 2 penuhi permintaan air bersih, terawat 

AMINUDDIN Harun dan Mohd. Khairuddin mendengar taklimat selepas perasmian Majlis Pecah Tanah Pembinaan Loji Rawatan Air Ngoi-Ngoi Fasa 2 di Pantai, Seremban, Negeri Sembilan,  semalam. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Permintaan terhadap bekalan air bersih dan terawat di daerah ini terutama di kawasan Nilai dan Sendayan yang semakin pesat membangun dapat dipenuhi kelak menerusi pembinaan Loji Rawatan Air Ngoi-Ngoi Fasa 2.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, projek itu adalah hasil peruntukan sebanyak RM347.25 juta yang diluluskan kerajaan Persekutuan bagi tempoh 2021 sehingga 2023 melalui pembiayaan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) untuk pembangunan bekalan air baharu di Negeri Sembilan.

“Ia termasuk projek bagi Pembinaan Loji Rawatan Air Ngoi-Ngoi Fasa 2 yang dijangka meningkat kapasiti bekalan air sehingga 150 juta liter sehari dengan nilai keseluruhan berjumlah RM228 juta menerusi pembiayaan pajakan bulanan yang ditetapkan kepada PAAB.

“Projek ini bakal menampung keperluan pembangunan Malaysia Vision Valley (MVV) meliputi kawasan seluas 153,000 hektar melibatkan daerah Seremban serta Port Dickson yang merupakan pembangunan terancang, lestari dan inklusif  secara berfasa sehingga 2045,” katanya sewaktu berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Loji Rawatan Air Ngoi-Ngoi Fasa 2 di sini, semalam.

Yang hadir sama  Pengerusi PAAB, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.

Jelas Aminuddin, projek Pembinaan LRA Ngoi-Ngoi Fasa 2 sangat penting kepada MVV kerana ia adalah nadi utama memastikan permintaan bekalan air bersih dan terawat dapat dipenuhi sekali gus menampung kapasiti bekalan air di Seremban, Nilai dan Sendayan yang semakin pesat membangun.

“Kerja pembinaan semua projek tersebut dijangka siap secara keseluruhannya pada 2024 dengan keseluruhan skim projek ini berupaya menambah kapasiti bekalan air terawat bagi menampung permintaan tinggi pengguna selaras dengan keperluan semasa rakyat di Negeri Sembilan,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Khairuddin berkata, sejak pelan penstrukturan semula industri bekalan air di bawah skim pembiayaan PAAB ditandatangani pada 2008, pelbagai projek bekalan air dilaksanakan di Negeri Sembilan termasuk membangunkan aset baharu seperti loji rawatan air dan membaik pulih aset-aset sedia ada termasuk menggantikan jajaran paip uzur di negeri ini.

“Dalam tempoh itu juga, beberapa projek utama di bawah skim pembiayaan PAAB disiapkan dengan peruntukan berjumlah RM435.37 juta melalui pembiayaan pajakan bulanan yang ditetapkan kepada PAAB dengan persetujuan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (Sains). 

“Pelbagai perancangan sedang dirangka oleh PAAB bersama Sains untuk penyelesaian masalah bekalan air jangka panjang yang melibatkan beberapa inisiatif projek berkeutamaan tinggi termasuklah projek Pembinaan LRA Ngoi-Ngoi Fasa 2 ini,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya