ALOR SETAR: Kerajaan Kedah akan meneruskan pembinaan litar lumba di Sungai Petani dengan kos RM30 juta berbanding RM73 ditetapkan kerajaan negeri terdahulu.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi M. Nor berkata, pembinaan tersebut masih tertangguh sehingga hari ini kerana nafsu besar pemimpin terdahulu yang ingin membina litar lumba bertaraf antarabangsa.
“Pada asal RM30 juta kemudian jadi RM73 juta kerana ‘nafsu besar’ mereka nak bina litar lumba bertaraf antarabangsa. Buat apa nak bina litar antarabangsa, siapa nak mai (datang), macam mana rempit nak mai.
“Jadi kita akan jual sebahagian tanah litar itu yang ada lebih 100 ekar (40 hektar). Kita buka tawaran dan sudah ada orang nak beli. Jadi kita akan gunakan duit itu untuk bina litar ini,” katanya pada program Santai Anak Utara di Taman Jubli Emas di sini hari ini.
Menurut beliau, kerajaan negeri sama sekali tidak akan mengingkari janji untuk meneruskan pembinaan litar lumba berkenaan yang sudah lama tertangguh.
“Bila saya pegang jawatan (Menteri Besar) pada 2020, ini projek yang saya janji akan teruskan. Bukan kita tidak berminat tetapi duit tak ada nak bina litar. Kerajaan Kedah terdahulu sudah dapat RM30 juta dan berhasrat nak minta lagi daripada KBS RM43 juta. Itu yang lambat.
“Sekarang kita ada RM20 juta lagi daripada RM30 juta itu yang diperuntukkan untuk kerja-kerja tanah. Kita akan bangunkan litar ini sebelah, sebelah lagi (yang dijual) akan dibuat pusat komersial, kedai dan bilik pameran,” katanya.- UTUSAN