Lima negeri serah senarai calon, kawasan ingin ditandingi - Dominic Lau

Hanya lima negeri serah senarai calon, kawasan ingin ditandingi PRU15 – Dominic Lau

DOMINIC Lau Hoe Chai (tengah) ketika menyerahkan kuntuman bunga sempena sambutan Hari Ibu di Icon City, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Hanya lima buah negeri sudah menyerahkan senarai calon yang boleh diketengahkan untuk mewakili Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) serta kawasan yang ingin mereka tandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) setakat ini.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, senarai negeri tersebut bagaimanapun tidak akan didedahkan buat masa ini bagi memberi keadilan kepada negeri lain yang belum berbuat demikian.

Katanya, ketika ini juga beberapa Pengerusi Perhubungan negeri Gerakan atau penyelaras telah meminta supaya tempoh penyerahan itu dilanjutkan dengan alasan tidak sempat menyenaraikan nama calon serta kawasan yang ingin ditandingi disebabkan masih berada dalam ‘mood’ perayaan. 

“Situasi perubahan politik dalam negara yang tidak menentu atau ‘uncertainty’ juga menyebabkan mereka (Pengerusi Perhubungan negeri Gerakan) mahu diberikan masa yang lebih panjang untuk tujuan itu.

“Jadi, kita harap menjelang minggu depan, kita akan terima semua senarai kawasan dan calon yang dicadangkan itu. Senarai ini juga kita akan bawa ke peringkat Perikatan Nasional (PN) Pusat untuk perbincangan selanjutnya bagi tujuan pengagihan kawasan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita semasa mengagihkan kuntuman bunga sempena sambutan Hari Ibu di Icon City, di sini hari ini.

Mengulas lanjut kata Dominic, Pulau Pinang akan kekal sebagai negeri ‘barisan hadapan’ parti itu memandangkan Gerakan pernah berkuasa selama 39 tahun di negeri itu sebelum jatuh tanpa sebarang kerusi pada PRU-12, kira-kira 14 tahun lalu.

Dalam pada itu beliau memberitahu, hubungan Gerakan dengan parti-parti komponen lain dalam PN khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas kini semakin rapat selepas melalui beberapa pilihan raya negeri (PRN) termasuk Melaka dan Johor.

“Semua parti komponen dalam PN memainkan peranan yang berlainan. Sebagai contoh dalam PN, kita (Gerakan) akan memberi fokus kepada kelompok bukan Melayu dan bukan Islam walaupun dalam PN sendiri Bersatu juga memiliki sayap bersekutu (memberi fokus kepada golongan bukan bumiputera) dan Pas pula dengan DHPP (Dewan Himpunan Penyokong Pas).

“Apapun, kita akan teruskan dengan proses merapatkan hubungan sesama parti komponen dan arahan juga telah dikeluarkan sebelum ini untuk kita mengadakan majlis berbuka puasa dan jamuan hari raya secara bersama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya